Balak: Kerajaan negeri akan buat taklimat khusus

KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan pembangunan masyarakat Orang Asal termasuk bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)KOTA BHARU – Kerajaan negeri akan mengadakan taklimat khusus dengan beberapa jabatan dan agensi di negeri ini dalam waktu terdekat bagi mendapat penjelasan dan penerangan lengkap mengenai isu pembalakan di Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, laporan penuh sudah diterima namun taklimat masih belum diadakan dan dijangka dibuat minggu ini melibatkan Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan dan agensi-agensi terlibat.

“Kita akan dengar taklimat dan laporan penuh tersebut. Dari situ baru kita boleh buat keputusan dan langkah susulan, apa yang patut dibuat dan apa kaedah yang perlu digunakan untuk selesaikan masalah ini,” katanya kepada media di sini.Walaupun isu tersebut menjadi bualan dan bahan politik sesetengah pihak untuk menjatuhkan kerajaan negeri, namun Mohd Amar memberitahu, perkara tersebut tidak perlu dipanjangkan dan beliau juga berpendapat banyak salah faham berlaku terutamanya pihak-pihak yang mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang maklumat yang tepat.

Beliau yang memegang portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah, Pelaburan dan Sumber Asli itu juga berkata, mereka yang mengulas dan membesarkan isu tersebut sebenarnya tidak tahu mengenai prosedur, perancangan kerajaan untuk sesebuah kawasan.

“Mereka hanya tahu dan lihat hutan ditebang dan air kotor. Tapi mereka tidak tengok tahap pencemaran itu adakah lebih dari had atau tidak. Sebab kita ada Jabatan Alam Sekitar memantau projek seluruh negeri, jadi kalau benda itu langgar peraturan, ia akan dihentikan serta-merta. Dan sebelum ini pun ada yang sudah didakwa dan sebagainya.

“Sebagaimana Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sebut sebelum ini, kelulusan balak biasa ini sudah dihentikan. Jadi benda-benda teknikal ini banyak orang tidak faham, itu yang jadi masalah dan jadi kelam kabut. Ramai orang tidak tahu prosedur dalam penggunaan hutan simpan dan apa yang perlu dilakukan dengan kawasan-kawasan tersebut.

“Sebab itu saya cakap kalau orang biasa bercakap, memang akan jadi kelam kabut. Kita nak terangkan pun susah, sebab terlalu teknikal. Sebab itu banyak isu Jabatan Perhutanan sendiri yang terangkan,” katanya.- SINAR HARIAN 17 OKTOBER 2016

(Visited 2 times, 2 visits today)

Add Comment