Banjir kedua: Pimpinan Kelantan giat membantu

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan turun kepada 10,723 orang berbanding 11,583 orang sebelum ini yang melibatkan lapan jajahan.

Jumlah jajahan yang terlibat antaranya Kota Bharu, Kuala Krai, Pasir Putih, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah dan Bachok berikutan hujan lebat sejak Rabu lalu.

Portal eBanjir Kerajaan Negeri Kelantan sehingga jam 12.00 tengahari tadi melaporkan 3,012 keluarga dipindahkan ke 66 pusat pemindahan sementara yang dibuka sejak Jumaat lalu.

Jajahan Kota Bharu kekal mencatatkan jumlah mangsa paling ramai melibatkan 4,285 penduduk dari 1,334 keluarga berada di 24 pusat pemindahan.

Jajahan kedua teramai Pasir Putih melibatkan 2,507 orang dari 678 keluarga yang tinggal di 10 buah pusat pemindahan berdaftar dalam jajahan itu.

Pasir Mas pula menduduki tempat ketiga teramai melibatkan 2,027 orang dari 642 keluarga di 22 buah pusat pemindahan.

Sementara itu wakil rakyat yang terlibat dengan banjir, terus membantu rakyatnya yang dalam kesempitan.

Sama ada mengunjungi mangsa di pusat pemindahan atau juga berkunjung dari rumah ke rumah mangsa yang enggan berpindah.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Limbongan, Ustaz Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah, berkata walaupun jumlah mangsa banjir secara umumnya agak menurun, namun Dun Limbongan masih kekal seramai 908 orang.

Katanya, sebanyak empat pusat pemindahan banjir berdaftar disediakan, antaranya Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil, Pasir Putih, Sek Men Keb Kamil dan Sek Ren Keb Kamil 1.

Nazlan ketika meninjau perkembangan mangsa-mangsa banjir, beliau sempat menyantuni kanak-kanak yang turut bersama keluarga masing-masing.

“Saya tersentuh dengan nasib seorang kanak-kanak setahun lebih bersama tiga lagi adik beradiknya yang lain juga masih kecil.

“Kebetulan malam tadi ibunya terpaksa ditahan di hospital Pasir Putih kerana masaalah kesihatan, tapi syukurlah hanya semalaman sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang melepasi tahap bahaya iaitu 10.11 meter(m) (9 meter bahaya).

Manakala paras air di tiga sungai telah melepasi paras amaran iaitu Sungai Lebir di Tulang (31.9m, 31m amaran), Tangga Krai (22.70m, 22.5m amaran) dan Jambatan Guillemard (15.95 m, 14m amaran).

Manakala dua sungai melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Golok di Jenob 21.88m (21.50m berjaga-jaga) dan Sungai Galas di Dabong  (34.19m, 32m (berjaga-jaga).

Keadaan cuaca pagi tadi agak baik bagaimanapun penduduk perlu berhati-hati setelah Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat sehingga 24 Januari ini. – HARAKAHDAILY 22/1/2017

(Visited 5 times, 1 visits today)

Add Comment