BENGKEL GIG EKONOMI DEDAHKAN RAHSIA NIAGA DI ALAM SIBER

oleh Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM – Urusetia Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan (U-BeS) mengambil inisiatif menyediakan alternatif kepada usahawan belia Kelantan dengan menganjurkan program Bisnes Maya dan Sembang Gig Ekonomi pada 29 Januari 2020 di Dewan Seminar MABNA, Kompleks Kota Darulnaim.

Seramai 30 orang peserta didedahkan ilmu perniagaan di alam siber oleh Abqari Abdullah (Mastayie) yang pengalaman 10 tahun dalam bisnes secara atas talian.

“Pengiklanan secara atas talian melalui Facebook, Whatsapp atau Twiter lebih mudah dan cepat mencapai sasaran berbanding kaedah konvensional yang mahal dan memenatkan. Oleh itu, gunakan saluran percuma ini untuk memberitahu seramai mungkin bakal pelanggan kita. Sekali gus meluaskan pasaran produk kita tanpa batasan di samping bersilaturrahim”, ujarnya.

Teknik mendapatkan pendapatan secara digital dirungkaikan oleh Master Trainer Global Online Workfoce (MDEC) dan Pengasas Bersama GetRunner, Khairul Ikhwan Zulkefly.

Khairul, 28, menerangkan ekonomi “gig” merujuk kepada pekerjaan untuk jangka waktu tertentu yang melibatkan freelancer, kontraktor bebas, pekerja berasaskan projek dan pekerja sambilan atau sementara.

“Pada era digital, freelancer atau pekerja bebas boleh memilih pekerjaan sementara dan apa saja projek di seluruh dunia melalui pelbagai platform digital seperti Freelancer.com dan Upwork dan mendapat pendapatan dalam matawang asing seperti USD dan AUD. Bahkan, majikan pun boleh memilih individu terbaik untuk menjalankan projek tertentu dan membayar pada mengikut bajet yang ada’, katanya.

Dalam majlis perasmian, Pengarah U-BeS, Ustaz Nasaruddin Mahmud Mahyudin menjelaskan selaku urusetia Kerajaan Negeri, U-BeS sentiasa peka terhadap keperluan dan kehendak rakyat Kelantan yang mahukan fleksibiliti, kebebasan dan keupayaan bekerja dari rumah.

“Belia kita tidak perlu bersungut tiada pekerjaan lagi sebab semua kerja yang diminati kini berada di hujung jari, asalkan tahu cara dan kreatif sahaja. Mereka juga dapat mengimbangi jadual dan permintaan antara kerja dan keluarga. Pihak U-BeS pula sentiasa sedia berikhtiar menyediakan platform perkongsian ilmu dan memberi sokongan moral dari masa ke semasa”, ujarnya.- UPKN KELANTAN 9/2/2020

Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2596879213879763

(Visited 11 times, 1 visits today)

Add Comment