Berjaya walau tiada kemahiran tinggi

MACHANG – Walaupun tidak punya pengalaman serta kemahiran tinggi dalam bidang pertukangan perabot, seorang pemuda di Kampung Pangkal Gong, di sini, berjaya mengusahakan I-Home Deco sejak September tahun lalu.

Mohd Azlan Ismail, 22, memberitahu, minat mendalam terhadap dunia perniagaan mendorongnya untuk gigih berusaha memulakan perniagaan kedai perabot sebaik menamatkan pengajian dengan dibantu abang iparnya, Ismail Johari yang merupakan seorang pensyarah.

Menurut Mohd Azlan, semuanya bermula dengan cadangan Ismail agar dia mengusahakan kedai perabot berasaskan kabinet dapur serta perabot pasang siap.

Cadangan itu membuka mata Mohd Azlan untuk merealisasikannya sekali gus berusaha memahirkan dirinya dalam bidang pertukangan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Sebenarnya saya tak pernah terfikir untuk berniaga seawal ini. Pada mulanya saya berkira-kira untuk kerja makan gaji lebih dahulu. Namun bila abang ipar cadangkan saya mengusahakan perniagaan ini dengan bantuannya, saya terus bersetuju.

“Abang Ismail ada pengalaman luas dalam bidang perusahaan perabot walaupun terlibat dalam bidang pendidikan. Malah dia pernah mengusahakan perniagaan sama ketika menetap di Pahang suatu waktu dahulu,” katanya.

Mohd Azlan mengakui banyak belajar daripada Ismail yang sentiasa menjadi rujukannya, selain mempunyai sedikit pengetahuan untuk mengendali pelbagai jenis mesin untuk pertukangan ketika masih belajar.

Katanya, pada peringkat awal dia berhutang dengan kedai besi untuk membina bengkel dan memulakan perniagaan seminggu selepas itu.

“Saya edar risalah mengenai produk ditawarkan oleh perusahaan saya sebelum dapat projek pertama dalam bulan sama perniagaan saya mula beroperasi.

“Alhamdulillah, jiran tetangga dan penduduk banyak beri sokongan dengan membuat pelbagai tempahan, termasuk kabinet dapur walaupun kami masih bertatih ketika itu,” katanya.

Tambah Mohd Azlan, kawan Ismail turut menghadiahkan sebuah mesin pemotong tidak digunakan kepada mereka apabila mendapat tahu Mohd Azlan dan Ismail ingin mengusahakan bengkel berkenaan.

Katanya, dengan mesin itulah mereka menyiapkan tempahan pertama dan setelah mendapat wang deposit, mereka membeli beberapa peralatan kecil selain material diperlukan untuk membuat perabot yang ditempah pelanggan.

“Walaupun terpaksa korbankan banyak masa dan tenaga di bengkel, saya tak pernah kesal, malah bersyukur dengan tempahan diterima sejak perniagaan ini dimulakan.

“Pada bulan pertama, saya kerja tanpa ambil kira wang upah. Apa yang penting ketika itu adalah beli peralatan dan pastikan ia cukup untuk memastikan semua kerja berjalan lancar,” katanya.

Mohd Azlan berkata, dia dan Ismail bercadang membina pejabat baharu dalam usaha mengembangkan perniagaan, yang akan turut dilengkapi ruang pameran untuk kemudahan pelanggan dan orang ramai membuat pilihan reka bentuk kabinet dapur.

“Buat masa ini, selain datang ke bengkel, pelanggan boleh lihat reka bentuk produk kami di laman web I-Homedeco.blogspot.com.

“Banyak dugaan dan masalah dihadapi dalam menjayakan perniagaan ini dan alhamdulillah semua dapat saya tangani dengan baik. Bukan mudah untuk berjaya dan setiap usaha perlu diiringi dengan kegigihan serta kesabaran,” katanya.

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment