KOTA BHARU – Pihak yang tidak berpuas hati dengan pemilihan tapak bagi membina rumah kekal mangsa banjir disaran mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata mangsa yang tidak berpuas hati seharusnya berbincang dengan kerajaan negeri bagi mengelak kelewatan pembinaan berterusan.
“Kalau tapak pembinaan tidak sesuai, sepatutnya pihak terlibat membawa perkara itu kepada kerajaan (negeri) untuk dibuat pilihan kepada tapak-tapak cadangan baharu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Darul Naim di sini hari ini.
Beliau berkata tapak berkenaan telah dicadangkan kerajaan negeri dan dipersetujui Unit Perancang Ekonomi negeri dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pada 4 Februari lepas.
“Senarai tempat dan tanah yang dicadang untuk dibangunkan oleh kerajaan Persekutuan itu telah dihantar kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada tarikh yang sama,” katanya.
— Bernama