Bukan mahu aniaya penduduk

TUMPAT – Projek Kampung Warisan Pelancongan di Kampung Laut yang sebelum ini mendapat pelbagai halangan dan kontroversi dijangka bermula tahun hadapan selepas penempatan baharu di Kampung Sungai Nyior selesai.

Kampung di atas tanah seluas 1.48 hektar itu dijadikan penempatan baharu buat 12 keluarga dari Kampung Laut yang terlibat dengan pengambilan tanah untuk membangunkan kampung warisan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek kampung warisan menelan belanja anggaran RM30 juta itu dilaksanakan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Menurutnya, ia bertujuan membangunkan tapak industri berasaskan makanan sebagai destinasi pelancongan, kerana Kampung Laut popular dengan serunding daging, dodol, kraf tangan dan jalan air.

 “Syukur pecah tanah dapat disempurnakan untuk tempat pemindahan 12 keluarga terlibat dengan kampung warisan tersebut.

“Projek ini bukan untuk menganiayai penduduk Kampung Laut seperti yang digembar-gemburkan, sebaliknya memberi peluang kepada rakyat Tumpat meningkatkan pendapatan mereka.

“Projek kampung warisan itu akan bermula selepas selesai pemindahan 12 keluarga itu,” katanya selepas upacara pecah tanah di Kampung Sungai Nyior, semalam.

Sebelum itu turut diadakan solat hajat di tapak penempatan baharu yang bersebelahan Kampung Laut.

Ahmad berkata, tanah penduduk Kampung Laut yang terlibat dengan Kampung Warisan Pelancongan hanya 0.88 hektar dan 12 keluarga terlibat dipindahkan di penempatan baharu seluas 1.48 hektar.

“Penempatan baru akan disediakan surau, dewan serbaguna dan kediaman keluarga terbabit,” katanya.

Menurutnya, di Kampung Warisan Pelancongan itu akan dikekalkan nilai warisannya apabila Masjid Kampung Laut di Nilam Puri dibawa semula ke tapak asal di Kampung Laut, menghidupkan jalan air selain perusahaan serunding daging dan dodol dihimpunkan.- WARTAWAN SINAR HARIAN 17 APRIL 2017

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment