KOTA BHARU: Semua pihak terutama pimpinan masyarakat dan komuniti mesti bekerjasama dalam mencegah penularan wabak denggi dengan cara membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Kelantan YB. Dr Izani bin Husin berkata, masyarakat masih lagi menganggap bahawa wabak denggi sebagai penyakit biasa sedangkan ia merupakan penyakit yang berbahaya seperti covid-19.
“Kita merasakan wabak denggi ini adalah biasa dan tidak besar seperti covid-19, tetapi pada hakikatnya kedua-duanya adalah bahaya kepada semua orangβ. katanya ketika berucap merasmikan program mencegah pembiakan nyamuk aedes peringkat Kota Baharu 2020 di masjid As Syakirin kampung Semut Api Badang hari ini.
Tambahnya lagi, untuk membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes ini tidak seharusnya ditujukan kepada pihak kerajaan dan Jabatan Kesihatan semata-mata, tetapi semua pihak haruslah bekerjasama bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes. Dalam ucapannya juga, beliau menggesa masyarakat supaya perlu mengadakan satu program gotong royong untuk membersihkan persekitaran rumah dan tempat-tempat yang berisiko sekurang-kurangnya 10 buah rumah satu kali dalam seminggu.
” Sebagai contoh dalam minggu ini kita bersihkan 10 buah rumah dalam kawasan Semut Api ini, minggu depan 10 buah lagi, ini kerana nyamuk duduk di dalam dan sekitar rumah kita, kalu rumah kita bersih dan rumah jiran tidak bersih maka kita juga berisiko untuk terkena demam denggi, pastikan setiap rumah dalam komuniti bersih.” Katanya.
Sebanyak 2226 kes denggi dicatat di Kelantan dengan lima kematian yang berlaku pada pertengahan bulan Julai 2020. Ia melebihi kes covid-19 yang berjumlah 157 kes positif dengan tiga kematian. Ketika menjawab soalan dari pemberita YB. Dr Izani berkata jajahan Kota Bharu mencatat kes denggi paling tinggi diikuti dengan jajahan Bachok.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan YB Dato’ Dr Zaini bin Husin, Timbalan Pengarah kesihatan Negeri Kelantan YB. Abd Haris bin Muhammad, Pegawai Kesihatan Daerah Kota Bharu YBhg Izamin bin Idris dan pimpinan masyarakat setempat.