Dedah pelajar cara betul urus jenazah

TUMPAT – Sebaik-baiknya jenazah itu diuruskan oleh ahli keluarga yang terdekat seperti anak atau bapa atau adik beradik dan sebagainya.

Menyedari kepentingan itu, Sekolah Menengah Ugama Arab Bustanul Saadah, Morak mengadakan kursus pengurusan jenazah, teori dan praktikal dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama dan Islam Kelantan (Jahaeik).

Seramai 300 peserta membabitkan pelajar tingkatan satu hingga tiga berada di masjid sekolah itu untuk mengikuti pengurusan jenazah.

Ceramah dikendalikan oleh Penolong Pegawai Dakwah Jahaeik, Mohd Kaswadi Abd Ghani.

Mohd Kaswadi berkata, antara yang dikupas adalah aspek asas berkaitan pengurusan jenazah bermula dengan memandikan jenazah sehinggalah proses mengebumikan jenazah selesai.

“Melalui teori dan praktikal ini, sekurang-kurangnya peserta tahu cara menguruskan jenazah dengan harapan mereka faham untuk dimanfaatkan di kemudian hari,” katanya.

Menurutnya, kursus ini juga dapat melahirkan generasi pelapis muda yang dapat menguruskan jenazah di kampung-kampung.

Sementara itu, peserta, Mohd Hakim Husien, 14, berkata, dia yakin mampu memandikan jenazah selepas mengikuti kursus tersebut.

“Ia bukan teori semata-mata tetapi turut diajar praktikal yang perlu dipelajari kerana ia adalah fardhu kifayah.

“Sekarang ini agak sukar untuk mencari orang yang pandai memandikan jenazah, kalau ada pun orang yang sudah lanjut usia,” katanya.

Katanya, melalui kursus seperti ini, ia dilihat mampu melahirkan ramai generasi muda yang tahu menguruskan jenazah.

— Sinar Harian

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment