TUMPAT: Kedudukan PAS di Parlimen Tumpat terus mantap dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang ditunjangi penduduk keturunan Siam.
Penubuhan tersebut dirasmikan Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob di sini semalam.
Usaha tersebut dilihat ‘kena pada tempatnya’ apabila parti politik lain termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bertelagah antara satu sama lain.
“Kita hari ini mengambil sikap atau pendekatan lebih terbuka serta mesra sebagai persiapan bagi menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.
“Semua etnik di Kelantan memberi sokongan baik kepada usaha kerajaan negeri seperti mewartakan tanah di wat Siam di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim; Ketua DHPP Kelantan, Lim Guan Seng dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Roslan Wan Hamat.
Ustaz Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan menjelaskan, kerajaan negeri sehingga kini telah mewartakan sembilan daripada 23 permohonan tanah di wat Siam.
Usaha tersebut dilaksanakan menerusi Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 sebagai tapak rekreasi dan kebudayaan masyarakat berkenaan. – HARAKAHDAILY 31/12/2016