‘Eau Choice’ disedut 400 kaki dalam batu hampar

EAU CHOICE biarpun agak payah hendak disebut, namun orang ramai mengenali jenama itu. Sebelum ini boleh ditemui di lobi hospital dan masjid-masjid di Kelantan.

Namun tidak ramai mengetahui jenama air mineral semulajadi tersebut dikeluarkan kilang milik anak syarikat kerajaan Kelantan.

Airnya berkualiti setanding air mineral yang dikeluarkan syarikat ternama di Malaysia. Malah tidak keterlaluan dikatakan air mineral dikeluarkan syarikat tersebut antara terbaik kandungan mineralnya.

Kilangnya terletak di pinggir Banjaran Titiwangsa, di persekitaran hutan semulajadi. Pada ketinggian melebihi 1,000 meter dari aras laut antara kelebihan produk air mineral semulajadi Eau Choice.

Berada jauh dari pembangunan dan penempatan manusia menjadikan sumber air itu terhindar daripada pencemaran domestik dan industri.

Sumber airnya disedut daripada kedalaman 400 kaki dalam batu hampar batuan gunung berapi di perut bumi Banjaran Titiwangsa.

Dua telaga tiub dibina bagi menyedup air daripada bawah tanah. Punca airnya tidak pernah kering biar pun musim kemarau.

Air semulajadi itu dikeluarkan Sihhat-Afiat Sdn Bhd, syarikat bersekutu milik Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM).

KUM pula merupakan syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Sihhat-Afiat Sdn Bhd (Sihhat) ditubuhkan pada Disember 2007.

Pengurus Sihhat, Mohd Zulkifli Mat Noor berkata, kilang Sihhat mulai beroperasi semula Januari lepas selepas menghadapi masalah teknikal akibat tanah runtuh ketika bah besar akhir 2014.

“Kilang milik Sihhat merupakan satu-satunya pengeluar produk air mineral semulajadi di Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2017

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment