Allah menyediakan keperluan asas pertanian seperti mata air, hujan dan seumpamanya bagi menghidupkan bumi dengan tanaman dan penternakan termasuk juga segala hal mahsul khazanah laut demi kebaikan manusia di dunia ini sebagaimana firman Allah dalam Surah 36 (Yasin): 34-35 yang bermaksud: “Dan Kami jadikan (di atas muka bumi ini tempat yang sesuai untuk dibuat) kebun-kebun kurma dan anggur, dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air supaya mereka dapat makan daripada buahnya, dan daripada apa yang diusahakan oleh tangan mereka, maka mengapakah mereka tidak bersyukur?”
Menyedari hakikat nikmat ini dan sebagai manifestasi kesyukuran, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar menganjurkan Hari Petani, Penternak da Nelayan (HPPNK) 2019 bermula 31 Julai hingga 4 Ogos 2019 bertempat di Pantai Bisikan Batu, Semerak Pasir Putih Kelantan yang bakal dirasmikan oleh YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan, Hj Ahmad Yakob pada 1 Ogos 2019, jam 10.00 pagi di tapak expo HPPK 2019 Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh Kelantan.
Program kelolaan Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) selaku urusetia induk dengan kerjasama pihak jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan menyediakan pelbagai aktivi menarik sepanjang acara berlangsung selama 5 hari termasuklah Forum Perdana Ehwal Islam, Demonstrasi Prime Cut oleh Master Butcher Istana Diraja Inggeris dan banyak lagi.
Menurut Penolong Pengarah UPEN, Helmi Daud, kegiatan pertanian, penternakan dan perikanan adalah sumber rezeki dan pendorong umat Islam mengakrabi Allah SWT dengan memperkukuhkan ketakwaan melalui pengamatan bukti kebesaran Allah yang jelas dalam proses kejadian tanaman dan hasil penternakan serta tangkapan khazanah lautan.
“Ulama mengaitkan hal-ehwal pertanian, penternakan dan nelayan sebagai fardu ain atau fardu kifayah berasaskan keperluan seseorang, masyarakat dan negara. Sekiranya individu itu hanya memperoleh nafkah bagi diri dan keluarganya melalui pertanian maka hukum fardu ain termaktub ke atasnya menceburi bidang pertanian. Samalah juga dengan seseorang yang berkepakaran dalam salah satu bidang perternakan dan tidak ada seorang pun pakar sepertinya maka hukum wajib ditaklifkan kepadanya menceburi bidang tersebut demi kepentingan masyarakat awam,” hurai Helmi.
“Manakala, jika ramai nelayan berkepakaran dalam bidang perikanan maka menjadi fardu kifayah kepada setiap nelayan tersebut mengeluarkan hasil perikanan secukupnya mengikut permintaan awam. Menerokasi dan menguasai bidang pertanian, penternakan dan nelayan menjadi fardu kifayah kepada individu Islam kerana manfaatnya lebih besar mengatasi kepentingan peribadi.
“Sebab itulah kita menampilkan pakar-pakar bidang masing-masing melalui program bicarawara Forum Perdana Ehwal Islam untuk memberi pencerahan kepada rakyat mengenai keutamaan kegiatan pertanian, penternakan dan nelayan ini setanding dengan kegiatan ekonomi lain kerana tiga sektor ini adalah sumber pemakanan dan kesihatan manusia,” tegasnya.
Orang ramai dipersilakan hadir mengambil manfaat daripada aktiviti kerakyatan dan memeriahkan program sepanjang lima hari itu sebagai bukti sokongan terhadap aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.- UPKN KELANTAN 31/7/2019
Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2428239277410425