KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff meminta YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menepati janjinya untuk meluluskan segera bantuan RM12 juta.
Dana tersebut dijanjikannya pada 15 Disember 2022 untuk menyediakan enam unit pam bergerak berkuasa tinggi bagi mengatasi banjir termenung di jajahan Pasir Mas.
“Kita harap TPM tepati janjinya segera bagi menangani banjir termenung yang sering berlaku khususnya di Rantau Panjang. Kita perlukan pam berkuasa tinggi itu segera sebelum Oktober tahun ini bagi menghadapi Monsun Timur Laut 2023. Harap janji TPM ditepati sebab rakyat memerhati,” katanya ketika dihubungi.
Menjawab soalan lisan tersebut, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim YB Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan kementeriaannya sedang membuat permohonan peruntukan dalam fasa 2 sebanyak RM12 juta bagi pembekalan enam unit pam air berkuasa tinggi bagi mengatasi masalah banjir termenung di enam lokasi di Rantau Panjang.
“Walau bagaimanapun Kerajaan telah pun mengambil langkah proaktif dengan meletakkan sebanyak 33 buah pam bergerak sedia ada yang telah diagihkan kepada JPS Negeri Kelantan untuk kerja-kerja kecemasan. Di Parlimen Rantau Panjang, JPS Negeri Kelantan telah mengagihkan tiga unit pam bergerak jenis hidraulik dan dua set pam selam, lengkap dengan generator di sepanjang Sungai Golok. Di bandar Pasir Mas pula, satu unit End Suction Pump telah disediakan,” katanya dalam sidang Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas 2023, hari ini.