MACHANG: Harga sayur-sayuran di pasaran sekarang lebih terjamin berbanding harga komoditi getah yang menghadapi kejatuhan teruk sekarang.
Oleh itu Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berharap golongan belia tempatan memulihkan tanah-tanah terbiar dengan tanaman sayur-sayuran memandangkan harganya lebih terjamin.
“Harga buah rock melon di pasaran kini melonjak RM5 sekilogram dan permintaannya begitu tinggi,” katanya selepas melawat projek pembangunan tanah anak muda Kelantan di Kampung Wek dekat sini hari ini.
Projek pembangunan tanah anak muda Kelantan itu merupakan program perintis. Ia berjaya mengutip hasil sehingga RM12,000 bagi setiap tiga tan rock melon.
Projek berkenaan diusahakan tujuh peserta menerusi konsep mentor mentee. Ia meliputi kawasan seluas lapan ekar bagi fasa pertama.
Ustaz Ahmad berkata kerajaan negeri menyediakan kawasan seluas 40 ekar bagi melaksanakan projek berkenaan.
“Saya telah berbincang dengan anggota-anggota Exco dan ketua jajahan untuk perluaskan program ini.
“Kerajaan negeri berharap belia Kelantan merasa mulia dengan kerja bertani. Dengan terlibat dengan aktiviti pertanian kesihatan kita pun bertambah baik dan menghilang stress.
“Lebih-lebih lagi apabila melihat pokok yang ditanam subur sehingga mengeluarkan buah,” ujarnya.
Turut hadir anggota-anggota Exco Datuk Abdul Fattah Mahmood, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Ketua Jajahan Machang, Mohd Zainuddin Mohammad dan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.
Harga getah di pasaran sekarang hanya sekitar RM2.40 sekilogram sehingga menyebabkan ramai penoreh menghadapi kesempitan hidup. – HARAKAHDAILY 29/3/2016