HARI KELANTANKU BERSIH 2020

oleh Che Maziah Mat

KOTA BHARU– Sambutan Hari KelantanKu Bersih serta penyerahan lori kompaktor kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diadakan bertempat Dataran Warisan Stadium Muhammad ke IV. Tahun 2020, genaplah 3 dekad negeri Kelantan berada di bawah pentadbiran membangun bersama islam dan semenjak dari itu, aspek kebersihan adalah antara agenda utama yang menjadi perhatian di bawah pentadbiran. PBT sebagai agensi pelaksana yang paling dekat dengan masyarakat telah memberi perkhidmatan yang terbaik bagi menjamin keceriaan kawasan dan kesihatan masyarakat.

Sejak dilancarkan secara rasminya pada 25 april 2019 oleh YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar, pelbagai program kebersihan di bawah “ kempen KelantanKu Bersih” telah dilaksanakan oleh PBT, dan kesemua program yang telah dilaksanakan ini telah pun memberikan respon dan kerjasama yang positif kepada rakyat khususnya dalam mendidik masyarakat ke arah kebersihan. Masyarakat dilihat semakin cakna berkenaan isu kebersihan dan sentiasa menjadi topik yang sering dibincangkan.

Walaubagaimanapun masih terdapat banyak cabaran yang perlu dilalui oleh PBT sebagai agensi pelaksana dalam memberikan mutu perkhidmatan yang lebih cemerlang dalam aspek kebersihan memandangkan kos bagi pengurusan sisa pepejal adalah sangat tinggi. Program KelantanKu Bersih, kini diteruskan dan diperkasakan bagi memastikan pelaksanaan serta keberkesanan program secara menyeluruh kepada rakyat negeri Kelantan.

Menteri Besar Kelantan , YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan, Dato’ Haji Ahmad Yakob di dalam ucapan perasmian beliau amat mengharapkan Kelantan dikenali sebagai sebuah negeri yang bersih, ceria dan indah. Komitmen tersebut dizahirkan melalui peruntukan sebanyak RM 17.5 Juta dalam Belanjawan 2021 bagi program KelantanKu Bersih, Taman Rekreasi dan lain-lain untuk memastikan hasrat tersebut tercapai.

“Harapan saya bagi program KelantanKu Bersih sangat tinggi dalam memastikan Kelantan dikenali sebuah negeri yang bukan sahaja dari sudut pentadbiran yang bersih malah kehidupan rakyat yang cakna kepada kebersihan kerana kebersihan itu sangat dikasihi oleh Allah SWT dan Baginda Nabi SAW.” Katanya.

Sejurus selepas itu, turut disempurnakan dengan penyerahan 13 lori kompaktor dan 4 buah lori kepada setiap PBT yang melibatkan kos sebanyak RM 5.1 Juta. Semoga usaha-usaha yang telah dilaksanakan ini dapat mewujudkan gelombang perubahan sihat dan bersih kepada masyarakat melalui proses perubahan minda, sikap dan tabiat kebersihan kearah menjadikan negeri Kelantan bersih dan ceria.- UPKN KELANTAN 19/11/20

(Visited 23 times, 1 visits today)

Add Comment