KOTA BHARU – Pihak yang berkaitan perlu berhenti menuding jari menyalahkan Kerajaan Kelantan berhubung isu penularan virus HIV, sebaliknya mereka disarankan beri cadangan bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, isu penularan virus tersebut tidak perlu difokuskan kepada Kelantan sahaja kerana ia adalah isu global.
“Pembangunan internet, aplikasi seperti WhatApps, WeChat antara faktor membuatkan pergaulan jadi tidak terkawal dan seluruh negara menghadapi masalah sama.
“Sekarang bukan masa untuk mana-mana menteri dan ahli politik menuding jari kepada mana-mana pihak, kita cuma minta bagaimana nak harmonikan masyarakat dengan kaedah dan gerak kerja bagi selamatkan generasi akan datang,” katanya kepada media ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pasar Binjai di sini, semalam.
Hadir merasmikan, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilaporkan berkata, Kerajaan Kelantan tidak boleh menjadikan kedudukan negeri yang berjiran dengan Thailand sebagai alasan peningkatan penularan virus HIV.
Selasa lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Sujat memaklumkan di Kelantan pada tahun lalu, peningkatan berlaku hampir 50 peratus apabila penghidap HIV (heteroseksual) meningkat kepada 40 kes dan homoseksual 20 kes.
Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, sikap menyalahkan mana-mana pihak itu tidak akan menguntungkan bangsa dan negara.
“Kalau Kelantan tinggi kes HIV, dekat luar sana lagi tinggi, kita sepatutnya bersama dalam memberikan cadangan dan langkah-langkah yang perlu diambil,” katanya.
Bercakap mengenai majlis pecah tanah Pasar Binjai, Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM4.5 juta bagi membangunkan sebuah pasar yang lengkap kemudahan infrastruktur bagi menjamin keselesaan peniaga dan pembeli.
“Pasar yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 500 peniaga dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 hingga 11 bulan,” katanya.
– sinar harian