Hormati persefahaman PAS-PKR Kelantan

KOTA BHARU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pusat sepatutnya menghormati persefahaman antara PAS dan PKR Kelantan bagi memantapkan keutuhan Pakatan Rakyat di negeri ini.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, PAS Kelantan ada perjanjian persefahaman dengan PKR Kelantan.

“Sebab itu kita minta perjanjian persefahaman itu dihormati PKR pusat,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Semalam Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul menyifatkan PKR dan PAS bergabung tanpa sebarang ikatan hitam putih.

Menurut anggota parlimen Sungai Petani itu “Kita ada hubungan yang tidak rasmi dan saling menghormati, namun ia tidak mengikat kita, berbeza dengan Pakatan Harapan,”.

Mohd Amar yang juga angggota Exco kerajaan negeri berkata beliau difahamkan kehadiran pemimpin PKR Pusat ke Kelantan jemputan dibuat PAN.

Oleh itu beliau berkata PKR pusat perlu menghormati perjanjian persefahaman antara kedua-dua parti dalam konteks Kelantan.

“Persefahaman antara PAS dan PKR Kelantan bagi mengadakan hubungan baik dan bersetuju menghormati antara satu sama lain.

“Antaranya mereka dicadangkan tidak menghadiri program yang melibatkan PAN di Kelantan,” ujarnya.

Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi hubungan akrab antara PAS dan PKR sudah lama terjalin.

Katanya pemimpin PKR dilantik sebagai Penyelia Dun, Penyelia Parlimen, ahli majlis tempatan, penghulu dan ahli lembaga dalam agensi kerajaan negeri.

Selain itu menurut beliau pertemuan antara kedua-dua pihak sering diadakan dari semasa ke semasa bagi membincangkan pelbagai isu. –HARAKAHDAILY 20/1/2016

(Visited 3 times, 1 visits today)

Add Comment