HSK 2016, ‘Showcase’ Teristimewa Buat Wanita

‘Wanita Kelantan Tongkat Serandang Negeri’ tema yang mengangkat kedudukan wanita dalam segala aspek kehidupan, termasuk jua urusan pentadbiran sebuah kerajaan.

Mulai 2015, Kerajaan Negeri telah menamakan Hari Saidatina Khadijah sebagai penjenamaan baharu kepada sambutan tahunan Hari Wanita.

Sambutan Hari Saidatina Khadijah (HSK) 2016 dengan tema ‘Wanita Kelantan Tongkat Serandang Negeri’ bakal dilangsungkan dengan gemilang dan bertaraf antarabangsa.

yb-mumtaz-pcPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Hajah Mumtaz Md Nawi menyifatkan penganjuran HSK 2016 merupakan ‘showcase’ istimewa untuk wanita khususnya, dari Kerajaan Negeri Kelantan yang telah membangun negeri dan rakyat Kelantan menerusi acuan ‘Membangun Bersama Islam’.

“Kita akan mengemukakan kepada Malaysia, kepada rakyat Kelantan, kepada dunia apa yang telah Kelantan buat selama jadi kerajaan lebih 25 tahun,” ujar Mumtaz Md Nawi.

Dengan format aturcara yang memenuhi segenap dimensi wanita, HSK 2016 bermula dari 14 sehingga 17 Ogos.

_DSC0185Pelbagai acara telah disusun sepanjang 4 hari 3 malam. Antara yang menarik, program bual bicara bersama ikon popular, pelancaran buku tokoh-tokoh wanita Kelantan, Muslimah International Summit Kelantan (MISK) yang melibatkan pembentangan puluhan kertas kerja dari seluruh dunia, Makan Malam Kemesraan Silaturrahim bersama Tengku Puan Temenggong Kelantan, Muslimah Cultural Show yang menghidangkan persembahan kebudayaan dari Kelantan dan luar negara, Ekspo Kala@HSK 2016 yang menawarkan pelbagai produk Bumiputra Muslim dan banyak lagi acara menanti.

HSK 2016 turut mengambil ruang untuk pelancaran Pusat Sumber Saidatina Hafsah yang akan dikelolakan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan.

“Di Kelantan kita dikenali sebagai negeri Cik Siti Wan Kembang, Puteri Saadong tapi kalau kita nak lihat dari sudut akademik ataupun dokumentasi mengenai tokoh wanita samada yang dulu ataupun kini, susah.

Jadi kita mengambil inisiatif untuk mengemukakan satu penyelesaian untuk membuat satu Pusat Sumber Saidatina Hafsah,” terang Mumtaz bersungguh.

_DSC0123
HSK 2016 memilih Hotel Perdana sebagai venue utama sepanjang program, manakala Dewan Jubli Perak MPKB sebagai lokasi Ekspo Kala@HSK 2016 yang dibuka sepanjang hari bermula jam 10.00 pagi sehingga 10.00 malam.

Segala keunikan Kelantan bukan sahaja akan dipertontonkan kepada pengunjung tempatan bahkan peserta-peserta dari luar negara. Dengan kerjasama TIC, mereka akan dibawa ‘melancong’ ke beberapa destinasi tersohor, menarik dan unik di sekitar Kelantan pada hari terakhir HSK 2016.

“Ini keunikan Kelantan. Dengan makanannya, dengan pakaiannya, dengan tudungnya, dengan adat resamnya yang saya kira perlu kita showcasekan ke peringkat antarabangsa,” tambah Mumtaz mengakhiri sesi Sidang Media Khas Sambutan Hari Saidatina Khadijah 2016.

Maklumat terkini berhubung HSK 2016 boleh didapati melalui Page FB rasmi Hari Saidatina Khadijah.

 

 

(Visited 15 times, 1 visits today)

Add Comment