HSK 2021 TAMBAH 3 KATEGORI TOKOH, 2 ANUGERAH KHAS, 2 IKON

oleh Norzana Razaly

Mac sinonim dengan Hari Wanita Sedunia. Seiring arus perdana, Kerajaan Negeri Kelantan sejak 30 tahun lalu telah berjaya mengadakan Hari Wanita Kelantan, Hari Ibu Mithali, Hari Suri Mithali, Hari Keluarga Mawaddah dan pelbagai lagi program demi menghargai dan mengiktiraf sumbangan, jasa dan peranan wanita Kelantan.

Bermula tahun 2015, nama Hari Wanita Kelantan telah dijenamakan semula sebagai Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) dan menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu.

Mengimbas kemeriahan HSK 2019 yang berlangsung gilang-gemilang pada 23 hingga 27 Jun tahun lalu membuktikan iltizam Kerajaan Negeri Kelantan menjulang martabat dan ‘izzah wanita Islam pada tempat sewajarnya.

Kenangan empat hari bermukim di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu masih segar di ingatan. Pengalaman menerima kunjungan lebih 4,000 peserta termasuk dari luar negara menghadiri dan turut menyaksikan kelainan luar biasa berbanding acara besar lain apabila ia menggunakan tiga bahasa utama iaitu Melayu, Arab dan Inggeris sebagai medium perantaraan program bicarawara, forum dan majlis penganugerahan tokoh dan ikon muslimah bersempena HSK 2019 yang dianjurkan dengan jayanya oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan (U-KekWA).

Tahun 2021 bakal menampilkan HSK yang luar biasa pada 15 Syaaban 1442H / 29 Mac 2021 (Isnin) hingga 17 Syaaban 1442H / 31 Mac 2021 (Rabu) bertempat di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim.

Acara dijadualkan bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang merangkumi platform maya dan sua muka.

Menurut Pengarah U-KeKWa, Ilvira Mohd Dasuki, 49, HSK 2021 akan mempertontonkan panorama yang berbeza daripada sebelumnya ekoran Covid-19. Semua acara dirancang rapi berformat ringkas dan mematuhi kebiasaan baharu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) namun tetap mengekalkan prestij sebagai wadah paling gah meneruskan pengiktirafan terhadap peranan kaum wanita dalam membangunkan negeri, selain menjadi platform untuk berkongsi pengalaman sesama wanita dari dalam dan luar negeri.

“Pemilihan penerima anugerah HSK 2021, pencarian tokoh dan ikon telah bermula awal Mac 2021 oleh pihak U-KeKwa.

“Manakala pemilihan tokoh dan ikon dibuat oleh satu Jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato Hajah Mumtaz Md. Nawi”, katanya.

Beliau turut memaklum pertambahan kategori tokoh (terbuka untuk wanita kelahiran Kelantan atau bermastautin di Kelantan yang berumur 40 tahun dan ke atas) iaitu; Tokoh Sayyidatina Mariah Al-Qibtiyah (Mualaf), Tokoh Siti Hajar Al-Qibtiyah (Inovatif), Tokoh Rufaidah Al-Aslamiyyah (Petugas Barisan Hadapan), dan Anugerah Khas Wanita Orang Asli serta Anugerah Khas Wanita Bukan Islam.

Di samping mengekalkan kategori sedia ada yakni; Tokoh Sayyidatina Khadijah Khuwailid (Keusahawanan), Tokoh Sayyidatina Aisyah Abu Bakar (Pendidikan), Tokoh Aminah Abd Wahab (Armalah/ Ibu Tunggal), Tokoh Zinnirah Al Rumiyah (Orang Kurang Upaya), Tokoh Sayyidatina Zainab Khuzaimah (Kemasyarakatan) dan Tokoh Al-Khansa’ Amru (Kesenian).

Bagi kategori Ikon Wanita (terbuka untuk wanita kelahiran Kelantan atau bermastautin di Kelantan, dan berumur 39 tahun dan ke bawah) pula, dua penambahan dibuat iaitu Ikon Inovatif dan Ikon Kepimpinan sebagai pelengkap kategori sedia ada yakni Ikon Usahawan, Ikon Pendidikan, Ikon Kemasyarakatan dan Ikon Kesenian serta Ikon Sukan.

Siapakah yang bakal bergelar Tokoh dan Ikon Wanita Kelantan 2021 serta menerima Anugerah Khas tersebut? Nantikan HSK 2021 pada penghujung Mac ini.- UPKN KELANTAN 13/3/2021

#hsk2021#agardirimusemuliakhadijah

(Visited 14 times, 2 visits today)

Add Comment