TUMPAT – Impian sepasang suami isteri yang mahu memiliki rumah sempurna untuk anak-anaknya berteduh menjadi kenyataan apabila menerima sebuah rumah melalui Skim Bantuan Rumah Dhuafat hasil sumbangan kerajaan negeri.
Menurut Che Aisyah Che Mahmood, 39, sebelum ini, dia bersama suami, Abdul Ronin Yusof, 51, serta enam anaknya termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) mendiami rumah lamanya yang uzur.
Malah, rumah itu tidak lagi selamat untuk dihuni berikutan sebahagiannya sudah reput dimakan anai-anai.
Katanya, pendapatan suaminya sebagai buruh tidak seberapa, sekali gus tidak mampu untuk membina rumah baharu.
“Mujurlah ada yang prihatin untuk bantu kami, bersyukur sangat bila terima rumah baru yang mempunyai tiga bilik.
“Alhamdulillah, rumah ini amat selesa untuk kami anak beranak tinggal,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci Rumah Dhuafat di Kampung Alor Tar.
Majlis penyerahan kunci rumah disempurnakan oleh Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim.
Jelas Che Aisyah, rumah lamanya banyak menyimpan kenangan kerana ia rumah pertama buat keluarganya,namun ia terpaksa dirobohkan atas faktor keselamatan.
Sementara itu, Mohd Zaki berkata, Skim Bantuan Rumah Dhuafat yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak 2006 banyak membantu rakyat yang tidak memiliki rumah.
“Rumah ini bernilai RM25,000, dan empat buah rumah dibina setiap tahun atas tanah milik sendiri.
“Ini adalah rumah yang ke-34 dibina di Dun ini sejak diperkenalkan pada 2006,” katanya. [SINAR HARIAN]