KUALA KRAI: Cuaca di sini lebih cerah sedikit berbanding semalam, di mana hujan hanya sekali sekala lebat.
Bagaimanapun jumlah mangsa banjir meningkat kepada 877 orang berbanding 650 orang semalam.
Penyelarasan Task Force Kuala Krai Hilmi Abdullah berkata mangsa banjir terbabit terdiri daripada 240 keluarga yang ditempatkan di 10 penempatan banjir yang dibuka semalam.
Katanya juga aliran trafik pagi ini berjalan lancar memandang jalan Kota Bharu – Kuala Krai di Sungai Tok Bok, Sg Durian telah dibuka semula kepada semua kenderaan.
“Hujan masih turun renyai-renyai sekejap-sekejap pagi ini dan dijangka berterusan sehingga ke tengahari.
“Paras air banjir umumnya sedikit surut daripada semalam. Namun paras bacaan air di Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Kelantan di Bandar Kuala Krai masih mencatatkan bacaan melebihi paras amaran,” katanya di sini.
Manakala di Kampung Manek Urai Lama air Sungai Lebir belum lagi melimpah memasuki kawasan kampung.
Di Kota Bharu malam tadi Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakub berharap penduduk yang tinggal rendah mengikut arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku banjir.
Katanya mereka hendak berpindah segera sekiranya diarah berbuat demikian.
“Bagaimana pun kita berdoa semoga tidak lagi berlaku banjir di tahun baru,” katanya ada sambutan ambang 2017 di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke IV. – HARAKAHDAILY 1/1/2017