SENTUHAN HIDAYAH MENERUSI IBRAH PARA ANBIYA’ DAN SOLEHIN MELALUI JUZ 5⃣
“TUGAS PEMERINTAHAN TUNTUTAN KERASULAN”
Renungan ayat Al-Quran berkait ibrah para Anbiya’ dan Solehin hari ini memfokuskan kepada anugerah kenabian dan kerasulan kepada Nabi Muhammad S.A.W dan Nabi-Nabi sebelum baginda, Nabi Ibrahim A.S, Nabi Sulaiman A.S dan Nabi Daud A.S. Apabila zahir kenabian Nabi Muhammad S.A.W, puak Yahudi mulai dengki lalu mempersoalkan tindak-tanduk Nabi S.A.W termasuk urusan perkahwinan baginda.
Menurut Imam Qurtubi, puak Yahudi menyebarkan berita bahawa Muhammad S.A.W tidak layak mengurus hal kenabian kerana sibuk mengurus rumahtangga dan mengatur giliran antara sembilan isteri pada ketika itu. Sedangkan mereka tahu bahawa Nabi Sulaiman A.S dan Nabi Daud A.S juga mempunyai isteri yang begitu ramai dan dapat mengurus hal ehwal kenabian dengan baik. Allah berfirman dalam hal ini:
أَمۡ یَحۡسُدُونَ ٱلنَّاسَ عَلَىٰ مَاۤ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۖ فَقَدۡ ءَاتَیۡنَاۤ ءَالَ إِبۡرَ ٰهِیمَ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَءَاتَیۡنَـٰهُم مُّلۡكًا عَظِیمࣰا
“Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad) disebabkan nikmat (pangkat kenabian) yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada mereka dari limpah kurnia-Nya? Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim: Al-Kitab dan hikmah (pangkat Nabi), dan kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar.” [An-Nisa’: 54]
Allah telah mengutuskan Nabi dan Rasul sebagai nikmat terbesar kepada manusia untuk mendapat jaminan kehidupan dunia dan akhirat. Selain para Rasul menyampaikan risalah dakwah, mereka juga mentadbir sesebuah masyarakat bahkan negara. Pemerintahan dan kerasulan adalah suatu perkara yang tidak boleh dipisahkan. Tugas membimbing ummah dan membina negara agar menjadi sejahtera adalah salah satu agenda besar para Rasul.
Daripada kalangan Yahudi yang berdengki ada yang kembali insaf lalu beriman dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Ibrahim A.S termasuklah kepada Nabi Muhammad S.A.W dan ramai daripada kalangan mereka yang kufur. Firman Allah SWT:
فَمِنۡهُم مَّنۡ ءَامَنَ بِهِۦ وَمِنۡهُم مَّن صَدَّ عَنۡهُۚ وَكَفَىٰ بِجَهَنَّمَ سَعِیرًا
“Maka di antara mereka (kaum Yahudi yang dengki itu) ada yang beriman kepada (apa yang telah di kurniakan oleh Allah kepada keluarga Nabi Ibrahim) dan ada pula di antara mereka yang berpaling daripadanya (tidak beriman). Dan cukuplah dengan neraka jahanam yang sentiasa menyala-nyala itu (menjadi tempat seksa mereka)”. [An-Nisa’: 55]
Zaman ketiadaan Nabi dan Rasul ini memerlukan umat Islam kembali merujuk kepada pewaris mereka daripada kalangan ulama yang ikhlas. Melalui kepimpinan ulama, ianya dapat menyelamatkan manusia daripada terjerumus ke lembah kejahilan dan kesesatan.
USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
05 Ramadhan 1440H
Ikuti juga info semasa Menteri Besar Kelantan di:
?FB MB:
https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob
?Twitter MB:
https://www.twitter.com/DatoAhmadYakob
?IG MB:
https://www.instagram.com/DatoAhmadYakob
?Telegram MB:
https://www.t.me/DatoAhmadYakob
⭕Aplikasi MB: http://nak.la/MBKelantan
Sumber: https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob/posts/1017881851735265