oleh Nik Azman Nik Mustafa
KOTA BHARU – Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mengesa kakitangan awam negeri dan persekutuan di Kelantan memainkan peranan memberi kesedaran kepada rakyat supaya segera mendaftar suntikan vaksin Covid-19 memandangkan peratusannya masih rendah di negeri ini.
Beliau berucap pada perasmian Program Malaysia Prihatin: Sesi Bersama Pegawai Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di Dewan Jamuan Utama Kompleks Kota Darulnaim semalam.
Katanya, sesudah setahun pandemik Covid-19 ia memberi kesan yang cukup mendukacitakan khususnya kepada perkembangan bidang ekonomi, perniagaan, pendidikan dan pelancongan.
“Kita hendaklah sentiasa bersabar dengan musibah yang bukan sahaja dihadapi oleh negara kita bahkan dunia seluruhnya kerana ujian ini mungkin akan memberi banyak hikmatnya kepada orang yang bersabar selepas ini,” katanya.
Pada majlis tersebut pembentangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkaitan dengan bidang tugas masing-masing.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YM Dato’ Tengku Azmi Tengku Jaafar, Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Dato’ Shahidani Abd Aziz serta wakil kakitangan awam negeri dan persekutuan.- UPKN KELANTAN 22/3/2021



