KOTA BHARU: Kaum minoriti di Kelantan tidak pernah disisih, malah mereka juga diberi peluang menikmati pembangunan sama seperti masyarakat Melayu.
Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, begitu juga masyarakat India tetap diberi peluang serupa bagi pemilikan kediaman dan pekerjaan.
“Kita bersedia menimbangkan perkara yang dibangkitkan rakyat sekiranya mereka melakukan dengan cara yang betul,” katanya pada pertemuan dengan Persatuan Keturunan India Kelantan (Sokmo) di pejabatnya hari ini.
Rombongan Sokmo diketuai presidennya Sundra Murthi.Pada pertemuan itu Sundra membangkitkan peluang pekerjaan, lot kediaman dan tapak bagi membina pejabat Sokmo.
Beliau juga berharap kerajaan negeri menyelesaikan masalah pemilikan tanah di Ladang Kerilla, Tanah Merah yang berlarutan sejak 30 tahun lalu. Isu berkenaan masih dalam perbicaraan di mahkamah.
Ladang Kerilla sebelum ini dimiliki Taiko Plantation, dan sekarang dikenali KLK Kepong pernah memberi jaminan untuk mengagihkan 184 lot kepada pekerja Melayu dan India.
Kerajaan negeri juga sebelum ini mengagihkan lot kediaman kepada penduduk India di Telekong, Kuala Krai.
Kawasan tersebut sebelum itu dimiliki sebuah syarikat perladangan diambil semula kerajaan negeri bagi mewujudkan lot kediaman. – HARAKAHDAILY 22/11/2016