oleh Norzana Razaly
Akhlak pemimpin ikutan rakyat, bak kata Saidina Umar al-Khattab; “Manusia adalah berdasarkan agama (cara hidup) pemimpinnya.”
Bertepatan hakikat sifat masyarakat inilah yang terjadi dalam majoriti kehidupan sejagat. Golongan atasan berperkerti mulia menjadi suri teladan dan memberi kesan secara langsung kepada masyarakat bawahan.
Gagasan kebajikan pelengkap tonggak keberkatan dan kemakmuran Negeri Kelantan ketara terzahir melalui kemuliaan sahsiah KDYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang berkenan mengembalikan Emolumen Diraja selama enam bulan bermula April sehingga September depan kepada Perbendaharaan Negeri Kelantan agar diuruskan sewajarnya oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan demi membantu meringankan beban rakyat yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.
Pekerti terpuji pimpinan negeri juga jelas terpapar apabila YAB Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad mengumumkan pemotongan elaun bulanan Datuk Bergelar untuk disumbangkan kepada pusat khidmat dewan undangan negeri (DUN) Pasir Pekan selama mana beliau berkhidmat sebagai ahli dewan undangan negeri (Adun) tersebut.
Amal baik pimpinan negeri yang lain turut terserlah menerusi keputusan Persidangan Khas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersetuju memotong dua bulan gaji Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk disalurkan ke Tabung Serambi Mekah bagi menzahirkan rasa simpati terhadap rakyat yang terjejas berikutan penularan wabak pandemik Covid-19.
Kebajikan berterusan
Tidak cukup dengan itu, bagi menzahirkan komitmen pimpinan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan sebanyak RM20,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Pusat Khidmat Dun (PKD) untuk diserahkan kepada golongan yang memerlukan demi meringankan beban rakyat.
Agenda kebajikan diteruskan dengan pengisytiharan RM29 juta bagi membantu rakyat yang terjejas akibat COVID-19.
Seterusnya, bermula awal Ramadan lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan pula dana RM4.5 juta untuk program Bakul Ramadan bertujuan menyalurkan sumbangan keperluan asas kepada fakir miskin melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan setiap DUN. Masing-masing menerima peruntukan RM100 ribu.
Di tambah lagi RM200 ribu melalui bantuan ‘Sejahtera Tani’ bagi membeli secara tunai produk petani yang terjejas ekoran arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Manfaat kepada rakyat
Tonggak ketiga inilah pelengkap keberkatan dan kemakmuran negeri yang menjadi dasar Pelan Induk Kelantan melangkah ke hadapan 2016-2025 yang dipelopori pihak atasan mengundang rahmat bercurahan tanpa henti sehingga manfaat kebaikannya terus lestari.
Bahkan semakin subur ke seluruh pelusuk negeri sehingga giat dicontohi pihak pelaksana lain untuk berlumba-lumba ke arah mengerjakan kebaikan termasuklah agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Mengambil contoh amal kebajikan yang dilaksanakan oleh Kolej Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) selaku Institusi Pengajian Tinggi swasta (IPTS) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN), juga berjaya berfungsi sebagai agen penyalur manfaat kepada rakyat.
Bukan sekadar berperanan sebagai pusat pembekal ilmu dan kemahiran kepada pelajar, bahkan KIAS boleh dianggap sebagai model IPTS yang memiliki pemimpin berbudi tinggi kerana sejak PKP Fasa 1 dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) komited mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan dengan menyediakan perkhidmatan nasi bungkus kepada sepuluh pelajar yang terkandas di asrama.
Para pelajar tersebut ingin membereskan penjilidan Latihan Ilmiah dan ada juga bakal menduduki peperiksaan MUET dijadualkan pada 28 Mac 2020 sebelum ia ditunda ke bulan Mei. Empat daripada mereka adalah pelajar antarabangsa, sementara bakinya adalah pelajar Malaysia.
Manakala pelajar lain bernasib baik kerana telah selamat pulang ke kampung halaman masing-masing sebaik sahaja cuti semester bermula pada 8 Mac, sepuluh hari sebelum arahan PKP diisytiharkan.
Bekalan mencukupi

Menurut Timbalan Ketua Eksekutif (Hal Ehwal Pelajar) (KIAS), Dr. Linamalini binti Mat Nafi, KIAS menyediakan bekalan mencukupi termasuklah bahan-bahan mentah seperti beras, ayam, ikan dan sayur serta peralatan memasak dan juga peti ais untuk kemudahan pelajar menyediakan makanan sendiri setelah PKP dilanjutkan.
“Bagi memudahkan urusan sepanjang tinggal di asrama, seorang ketua dilantik untuk menguruskan penyaluran sumbangan dan bantuan khususnya dalam penyediaan makanan. Jadual bertugas mengikut kumpulan terutamanya untuk berbuka puasa dan bersahur juga disediakan.
“Kita dapati mereka sangat seronok dengan aktiviti tersebut. Sekurang-kurangnya dapat menghilangkan rasa kerinduan kepada keluarga di kampung. Mereka juga sering dihubungi melalui Group WhatsApp yang diwujudkan bagi tujuan memantau aktiviti mereka dan juga menyalurkan sebarang perkembangan maklumat”, jelasnya.
Bermula PKP Fasa ke-empat, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi kebenaran pulang ke kampung kepada para pelajar yang terkandas di asrama atau rumah sewa berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu.
Pihak KIAS juga masih menunggu pemakluman daripada KPT bagi memulakan proses penghantaran tiga pelajar KIAS yang memohon untuk pulang ke kampung halaman dalam masa terdekat.
Mengakhiri wawancara melalui WhatsApp, Dr. Linamalini mewakili seluruh warga KIAS turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, YB Menteri Alam Sekitar dan Air merangkap Ahli Parlimen Kubang Kerian, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Markaz Siswazah Kelantan (MSK), dan individu perseorangan khasnya warga KIAS selaku penyumbang dana dan penaja juadah berbuka puasa dan bersahur kepada para siswa-siswi terlibat.
Nah, inilah rantaian rahmat bermagnet positif yang wajar bersambungan inisiatif para pencinta khairat.
Sifat berlumba-lumba mengerjakan kebajikan yang dimulai pimpinan lalu diteladani rakyat mudah-mudahan setiap zarah kebajikan itu menjadi pemberat Mizan kanan di Mahsyar kelak.
Ternyata manfaatnya kembali semula kepada kesejahteraan negeri serta seluruh isinya melalui kurniaan keberkatan daripada Allah SWT apabila Kelantan kini diisytiharkan berstatus zon hijau bebas wabak Covid19.
Semoga negeri julukan Serambi Mekah ini juga berstatus “baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur” sebagaimana idaman setiap warga Kelantan.
#KawalPergerakanKekalBerkebajikan
#KeberkatanKemakmuranKebajikan
#Covid19
#PKP
#KitaJagaKita
#DudukRumah
Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2666367903597560