oleh Norzana Razaly
Agenda kebajikan janaan Kerajaan Negeri Kelantan rancak berjalan sepanjang tahun sama-sekali tidak tergendala dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan mulai 18 Mac lalu.
Di samping sumbangan berbentuk material berupa wang tunai, skim bantuan perniagaan dan barangan makanan asas yang dihulurkan secara berkala atau sekali beri (one-off), Kerajaan Negeri Kelantan juga menyediakan bantuan bercorak kerohanian kepada masyarakat tempatan bahkan boleh diakses oleh para perantau di luar Kelantan sekali gus seluruh warga maya seantero dunia.
Alternatif kepada ketiadaan Madinah Ramadan rentetan PKP, Kerajaan Negeri Kelantan melalui agensinya seperti Urus Setia Penerangan dan Komunikasi (UPK), Urus Setia Belia, Sukan dan NGO (U-BeS), Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga (U-KeKWa), Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) dan Yayasan Tok Kenali (YTK) bersinergi menganjurkan program kerohanian yang bersiaran secara digital bagi memastikan minda rakyat juga kekenyangan oleh sajian ilmu bermanfaat sekaligus mententeramkan emosi rakyat yang tertekan akibat ujian luar jangka ini.
Siaran digital
Lapan program menarik direncanakan ke udara setiap hari sepanjang tempoh PKP dan Ramadan melalui media maya UPK berkerjasama dengan Kelantan TV (KTV) seperti Daurah Wanita yang bersiaran pada setiap Khamis pukul 10.00 pagi.
Sebahagian episod kuliah tanpa perantara berkaitan isu-isu kewanitaan bercorak santai ini berformat rakaman sendiri. Penampilan selebriti dakwah seperti Ustazah Dato’ Dr. Norhafizah Musa, YB Asmak Husin dan Ustazah Asma Harun bakal mengujakan penonton.
Di tambah pula dengan penglibatan tokoh-tokoh mapan pimpinan negeri yang saling mengupas ilmu dan berkongsi kemahiran yang diperlukan oleh wanita meliputi jati diri, personaliti, petua kecerdasan minda, kebajikan, tips kekeluargaan, ilmu keibubapaan, panduan menangani dan menjalani kehidupan merentasi tekanan ujian dan ilmu feqah serta ibadah secara umum.
Antara tokoh pimpinan yang sudah berkongsi buah fikiran ialah Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, YB Dato’ Hajjah Mumtaz Md. Nawi yang menggarisbawahkan kepentingan wanita memahami hikmat ujian melanda dan melata seumpama Covid19 menjelang Ramadan tahun ini.
Sambutan hangat
Tajuk slot beliau “Covid Ramadan Rahmat yang Tersirat” bersiaran pada 22 April lalu mendapat sambutan hangat ribuan tontonan.
Menurut Dato’ Mumtaz, daurah itu maksudnya pembelajaran melalui kaedah duduk dalam bulatan yang dikendalikan oleh pemudah cara. Ini menunjukkan kepentingan peranan wanita bertanggungjawab menentukan strategi dan pendekatan terbaik bagi menguruskan mashalat mereka sendiri.
“Sudut pandang wanita mungkin berbeza mengikut latar pendidikan, kerjaya dan pengalaman tetapi tetap relevan pada apa pun keadaan berdasarkan kesesuaian fitrah kejadian wanita itu sendiri yang penuh kelembutan dan sarat kasih sayang.
“Sebab itu, wanita memang kena ada ilmu sebab tenaga kita tidak banyak, buat apa biarlah dengan ilmu maka ia akan fokus, jimat dan penting sentiasa dikemaskini sekali gus berpahala”, tulisnya melalui WhatsApp.
Platform kreatif
Populariti Kuliah Duha di Medan Ilmu saban Jumaat sejak 30 tahun lalu secara syarahan langsung kepada hadirin kini diteruskan pula secara kreatif melalui siaran secara atas talian pada setiap pukul 9.30 pagi dan ulangannya pada Ahad, pukul 10.00 pagi.
Sepanjang Ramadan, setiap hari tazkirah Ramadan disiarkan melalui segmen Riyadh as-So’imin bermula pukul 2.00 petang. Sementara Al-Bayan pula menemui peminatnya pada setiap hari pukul 5.00 petang kecuali Isnin beranjak ke pukul 5.30 petang.
Sesi tadarus al-Quran ini berdasarkan teks terbitan JAHEAIK meliputi surah al-Mukminun ayat 52-61 dan tadabbur ayat-ayat lazim. Teks tersebut telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakub seusai Kuliah Duha Medan Ilmu pada 1 Ramadan lalu.
Menariknya siri ke-11 dipimpin sendiri oleh Timbalan Menteri Besar, YB Dato Mohd Amar bin Nik Abdullah bersiaran pada 11 Ramadan.
Tokoh berwibawa
Penolong Pengarah Kanan (Penerangan) UPK, Ustaz Razuan Awang Hamat berperanan selaku Penerbit Program Bicara Siasah memaklumkan, slot bicara eksklusif disampaikan secara solo oleh pimpinan atau para profesional berwibawa ini berformat santai dalam mengupas isu-isu serius dalam politik semasa tempatan daripada perspektif siasah Islam.
Sesi pertama dirintis oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang bersiaran pada Isnin, 4 Mei pukul 9.45 malam. Seterusnya slot ini ke udara sekali lagi pada Jumaat waktu yang sama dengan perkongsian bestari oleh pimpinan kawakan lain pula.
Segmen ke-enam ialah Galeri Ramadan menemui penonton pada Isnin dan Rabu bermula pukul 10.00 pagi hingga pukul 12.00 tengahari menampilkan slot bual bicara kewanitaan Semulia Khadijah kendalian dua peranta bersama tokoh pilihan seperti Datin Bentara Kanan Hajah Zubaidah Abdul Hamid, YB Dato’ Zailah Mohd Yusof dan YB Senator Asmak Husin.
Manakala KelantanKini pula ialah bual bicara topik pelbagai isu merangkumi aspek pentadbiran dan agama.
Berita Semasa tampil sebagai selingan dan menariknya, slot Sapaan FB menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM50 kepada dua soalan terpilih daripada netizen melalui FB KTV.
Menerusi Siri 6 Ramadan@Kelantan pada 11 Ramadan, menampilkan susuk orator tersohor iaitu Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Haji Mohd Nassuruddin bin Daud.
Beliau mengupas tuntas topik “Indahnya Ramadan” berkaitan keikhlasan berpuasa tanpa unsur riak dan menjaga kesopanan lisan serta tekun bekerja hatta berjihad kerana fizikal makin sihat-kuat akibat sabar dan takwa kian bertambah.
Khazanah berharga
Seterusnya, Zikrayat Tok Guru dijadualkan bersiaran pada setiap Sabtu pukul 10.00 pagi. Koleksi siri kuliah al-marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ibarat pengubat rindu rakyat kepada khazanah berharga berupa mutiara kata gemulah Tok Guru, Murabbi Ummah.
Tidak terkecuali siaran Semasa@Kelantan yang mewartakan berita penting perihal Kelantan dan Malaysia yang bersifat semasa menemui penonton pada Ahad hingga Khamis disiarkan sebagai selingan antara rancangan.
Berdasarkan kerancakan acara dan pengisian spiritual seperti di atas, ternyata agenda kebajikan mampu diteruskan secara kreatif dalam sebarang bentuk dan keadaan.
Berbuat baik juga bukan sahaja tertakluk kepada sumbangan berbentuk material berupa bekalan makanan atau pun wang ringgit yang dapat dilihat mata zahir kerana atas nama kasih sayang sesama insan dan saling berpesan-pesan tentang kebenaran dan kesabaran, manusia bijaksana sentiasa berlumba-lumba merebut peluang berbuat khairat sebanyak-banyaknya untuk mashalat umum.
Maka, diharapkan rakyat di Kelantan dan di perantauan memanfaatkan kebajikan bersifat non-material yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan secara berhemah dan istiqamah menuntut ilmu sambil mengisi masa berkualti bersama keluarga.
#KawalPergerakanKekalBerkebajikan
#PergiatMunajatPertingkatTaubat
#UndangMaghfirahUlangZikrullah
#HidangMahmudahHadangMazmumah