KUALA KRAI: Hujan lebat sejak tengah malam tadi menyebabkan banyak tempat rendah di jajahan ini mulai ditenggelami air.
Sehingga pagi ini hujan belum reda, ditambah pula tiupan angin agak kuat. Langit kelihatan gelap di segenap arah.
Jalan ke Bandar Kuala Krai berhampiran Caltex berhadapan Masjid Jauhar dilimpahi air hujan.
Kenderaan ringan yang ingin ke Bandar Kuala Krai boleh menggunakan jalan pintas atau alternatif di belakang Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai.
Penyelaras Task Force Kuala Krai Hilmi Abdullah berkata pengguna boleh memilih jalan pintas untuk ke bandar Kuala Krai.
Katanya kawasan tersebut ditenggelami air hujan ekoran hujan lebat sejak malam tadi.
Katanya juga jalan di jambatan Kampung Pemberian mengalami hakisan agak teruk akibat hujan lebat.
“Begitu juga Jalan ke Kampung Mesek, Manek Urai Lama juga ditenggelami air. Laluan ke Sekolah Menengah Manek Urai juga terputus,” katanya di sini.
Begitu juga jambatan di Sungai Chong, Kampung Sungai Sok turut ditenggelami air.
Paras air di Sungai Lebir juga meningkat pagi ini. Kelihatan banyak rumpun buluh dan sisa kayu hanyut.
Maklumat semasa mengenai banjir boleh diikuti di laman fb TaskForceKualaKrai
#InfoBanjirKualaKrai.
Manakala di Kota Bharu hujan sekali-sekala lebat sejak malam tadi. Cuaca juga mendung dan tiupan angin agak kuat.
Walaupun hujan, ibu bapa sibuk menghantar anak ke asrama bagi memulakan sesi pengajian 2017. – HARAKAHDAILY 31/12/2016