KELANTAN BAKAL DIKUNJUNGI PEMUISI ANTARABANGSA

oleh Norzana Razaly

Kemeriahan agenda Tahun Melawat Kelantan (TMK2020) diserikan lagi oleh kunjungan delegasi pemuisi antarabangsa ke Pertemuan Puisi Dunia Bachok Malaysia 2020 atau Bachok Malaysia World Poets Meet 2020 (GLOSI Bachok 2020) yang dijadualkan berlangsung di HR Resort Pantai Chap, Bachok pada 10–12 April 2020.

Program bertaraf dunia anjuran Persatuan Pemuisi Malaysia (Pemuisi) itu dijangka meriah dengan agenda utamanya ialah tiga Sasterawan Negara (SN) yang akan membentangkan makalah bermula dengan ucaptama oleh SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj Salleh.

Aturcara juga merangkumi pembentangan kertas kerja oleh pemakalah dari dalam dan luar negara, termasuk pemakalah Uyghur, China, Indonesia, Brunei dan Thailand bertemakan isu kemanusiaan sejagat.

Di samping itu, persembahan kebudayaan seperti wayang kulit, dikir barat, silat, makyong patuh syariah, baca puisi, dendangan lagu puisi, persembahan teater dan lain-lain acara kebudayaan bakal mendidik-hibur peserta dan pengunjung selama tiga hari acara berlangsung.

Bertemakan Puisi Dalam Dunia Yang Hilang Kemanusiaan, seluruh peminat puisi dari dalam dan luar negara dialu-alukan untuk mendaftarkan penyertaan.

Menurut Presiden Pemuisi, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim @ Wanrazuhar, tempat adalah terhad dan bayaran RM150.00 seorang diperlukan bagi membiayai tempat tinggal, makan minum selama 3 hari dan cenderahati t-shirt GLOSI BACHOK 2020.

“Sebuah antologi puisi GLOSI juga akan diterbitkan. Semua sahabat pencinta puisi diharapkan jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk sama-sama kita ekspreskan naluri yang mencintai kedamaian melalui puisi”, katanya.

Pendaftaran dibuka sekarang, sila emailkan biodata ringkas berserta dua buah puisi kepada pemuisinasional@yahoo.com atau telefon/mesej kepada petugas berikut:

Setiausaha Agung Puan Latty Latisa 017 385 3821
Penolong SUA Puan Zalina Ahmad +60 12 502 5688
Dato’ Wanrazuhar 012 2118303
Pengarah GLOSI 2020 Maroof Seman +60 13 905 2752- UPKN KELANTAN 15/2/2020

Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2601362530098098

(Visited 18 times, 3 visits today)

Add Comment