Kelantan rezab 740,000 ekar program karbon kredit

img_4055KOTA BHARU: Kerajaan negeri menghargai NGO dan orang perseorangan yang terlibat dalam perjuangan menjaga alam sekitar di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagagan, Perindustrian, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Datuk Anuar Tan Abdullah berkata kerajaan Kelantan juga tidak ketinggalan memperjuang hal ehwal alam sekitar.

Katanya segala kaedah dan tindakan pembangunan di negeri ini lebih berorientasikan mesra alam sekitar.

“Pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, Kerajaan Negeri mengumumkan beberapa langkah untuk menyokong keputusan yang dipersetujui pada konvensyen di Copenhagen membincangkan kaedah mengawal perubahan iklim dunia.

“Kelantan merupakan negeri pertama di Malaysia yang telah membuat keputusan untuk merezabkan kawasan seluas lebih kurang 740,000 ekar sebagai karbon kredit.

“Ia hampir separuh daripada hutan simpanan Kelantan iaitu sebahagian besar keluasannya terlibat dengan Hutan Simpan Kekal dara dan kawasan hutan lindungan demi menjayakan program Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation,” katanya di sini.Program tersebut merupakan satu mekanisma dalam rundingan “United Nations Flamework Convention on Climate Change (UNFCCC)” untuk mengurangkan kesan perubahan iklim melalui pengurangan pengeluaran gas rumah hijau atau karbon dioksida dengan meningkatkan pengurusan hutan.

Ini bertujuan dapat mengeluarkan lebih banyak oksigen dan menyerap lebih banyak karbon dioksida.

Kawasan-kawasan yang dicadangkan antaranya Gunung Chamah telah dikenal pasti akan dijadikan  kawasan yang akan menyertai program karbon kredit.

Ia tertakluk kepada beberapa kriteria dan keperluan yang di tetapkan seperti tiada sebarang aktiviti tukar guna tanah atau tiada sebarang pembalakan boleh dijalankan selama 30 tahun.

Anuar menyatakan bahawa Gunung Chamah dan hutan dara merupakan satu kawasan hutan yang dilindungi (preserved) semenjak zaman pentadbiran Almarhum Tok Guru lagi dan dijaga sebagai khazanah untuk generasi akan datang.

Katanya rakyat Kelantan cukup kagum dengan pandangan jauh dan pendirian Almarhum Tok Guru  walau pun sumber yang terhad, royalti minyak tidak dibayar kerajaan Barisan Nasional, namun kawasan itu tetap dipelihara.

“Kerajaan hari ini, di bawah Ustaz Dato Ahmad Yakob bukan sahaja menyambung dasar, polisi dan legasi Almarhum Tok Guru, malah menambahbaik dengan menyertai program karbon kredit demi menjaga generasi akan datang.

“Mengikut saintis dunia, mereka memberi amaran dan pandangan semasa dalam konvensyen di Copenhagen baru-baru ini, sekiranya suhu iklim tidak dikawal dan berlaku kenaikan suhu sebanyak 2 darjah selsius lagi.

Ia akan menyebabkan “iceberg” di kutub utara dan selatan akan cair dan paras air laut akan turut meningkat sekurang-kurangnya 2 meter.

“Sekiranya keadaan ini terjadi, ia akan mengakibatkan kebanyakan kepulauan di dunia akan tenggelam serta kawasan delta, tanah rendah untuk pertanian juga akan tenggelam,” ujarnya.

Oleh itu, beliau berharap rakyat Kelantan dan pencinta alam sekitar bersama-sama berganding bahu meneruskan legasi Almarhum Tok Guru serta memberi sokongan yang penuh terhadap komitmen kerajaan negeri dalam program karbon kredit. – HARAKAHDAILY 4/11/2016

(Visited 8 times, 1 visits today)

Add Comment