Kelantan serah pada polis isu orang asli Gua Musang

nikamar01KOTA  BHARU: Kerajaan Kelantan mengingatkan mana-mana pihak tidak mempengaruhi Orang Asli berhubung isu milikan tanah dan pembalak di Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tindakan itu boleh mewujudkan perkara buruk  kepada pihak yang terlibat.

Katanya, amat tidak wajar untuk mengambil kesempatan di atas perkara berkenaan dengan menjadikannya isu politik.“Kalau ada yang ingin membantu mereka termasuk badan bukan kerajaan (ngo) boleh, tetapi jangan sekali-kali mengambil kesempatan demi untuk mendapat nama atau sebagainya,” ujarnya.

Lagipun, menurut beliau perkara itu melibatkan isu pentadbiran dan masyarakat.

“Jika mereka benar-benar hendak membantu sepatutnya pihak terbabit datang sendiri bertemu kita (kerajaan negeri) dan membuat rundingan, itu yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim ketika diminta mengulas  isu pembalakan di  Hutan Balah Gua Musang.

Pada masa yang sama, jelas Amar lagi pembalakkan itu berlesan dan ia tidak menjadi masalah kepada kerajaan negeri menjalankan projek terbabit di kawasan berkenaan.

Beliau tidak menolak perkara itu berlaku berikutan salah faham atau wujud unsur hasutan daripada pelbagai pihak yang menyebabkan Orang Asli bertindak dan mendakwa kawasan mereka diceroboh.

Mohd Amar berkata, pihaknya menyerahkan isu terbabit kepada pihak polis untuk siasatan lanjut di samping campurtangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi mengadakan perbincangan berhubung situasi itu.

“Kita serahkan kepada polis memandangkan dari laporan yang kami terima wujud unsur hasutan kepada pihak Orang Asli dan Jakao sebagai orang tengah mewakili kerajaan negeri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan cara baik pada masa yang singkat.

Tambahnya, jika tidak ia akan merugikan semua pihak.

Pada masa yang sama, beliau turut memberitahu mesyuarat exco tersebut lebih membincangkan soal belanjawan berikutan persidangan Dun Kelantan bermula 24 Oktober ini adalah berkaitan perkara itu. –HARAKAHDAILY 6/10/2016

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment