Kelantan siap sedia hadapi musim tengkujuh

KOTA BAHARU – Jawatankuasa Bencana Negeri Kelantan menyediakan 607 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh memuatkan 198,000 mangsa banjir pada musim tengkujuh ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, Pejabat Tanah dan Jajahan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang menyelaraskan persiapan.

Mohamed Faziharudean berkata, pihaknya juga menerima taklimat daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta JKM berhubung persiapan musim tengkujuh dijangka melanda Kelantan November hingga Mac nanti.

“Kita dapati sebagaimana pengalaman lalu, kawasan tumpuan yang mempunyai ramai mangsa adalah di jajahan Kota Bharu dan  Pasir Mas diikuti Kuala Krai serta Tumpat.

“Mengikut laporan Jabatan Meteorologi dan JPS, hujan dijangka berlaku di kawasan pesisir pantai pada November. Di kawasan pedalaman seperti Gua Musang, Kuala Krai dan Machang pula Disember ini,” katanya kepada media hari ini.

Beliau ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan di Bilik Gerakan, Kompleks Darul Naim.

Mengulas lanjut, beliau berkata, persediaan bekalan makanan diletakkan di bawah kendalian JKM selain 204 buah bot dengan penglibatan 4,471 kakitangan agensi terlibat.

Selain itu, beliau juga mengharapkan semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat hajat dalam masa terdekat untuk mendoakan Kelantan terselamat daripada banjir besar.

“Buat masa ini cuaca sebagaimana tahun lepas. Taburan hujan pada bulan ini kurang daripada 50 peratus dan kita mendoakan kejadian banjir besar tahun 2014 tidak berulang,” katanya.- SINAR HARIAN 15/10/2018

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/kelantan-siap-sedia-hadapi-musim-tengkujuh-1.892106

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment