Kelantan tunggu laporan penuh mahkamah

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mendapat laporan penuh keputusan Mahkamah Majistret Gua Musang yang membatal permohonan sebuah syarikat pembalakan untuk meruntuh sekatan laluan pembalakan oleh sekumpulan masyarakat Orang Asal.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan laporan sebenar berkaitan kes berkenaan.

“Memang pembalak yang bawa kes itu ke mahkamah. Kerajaan negeri ingin mengenal pasti tuntutan yang dibawa mereka,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Mahkamah Majistret Gua Musang semalam dilapor menolak Syarikat Jajaran Wawasan Enterprise bagi meroboh sekatan laluan pembalakan di Pos Balar.

Permohonan dibuat di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah dengan mendakwa masyarakat sekumpulan Orang Asal di Gua Musang mendirikan sekatan bagi menghalang aktiviti pembalakan mereka.

Difahamkan isu tersebut tiada kaitan dengan syarikat milik kerajaan negeri, Kompleks Perkayuan Kelantan yang mendapat konsesi pembalakan di Hutan Simpan Balah.

Akhir September tahun lepas sekumpulan Orang Asal yang dipercayai didalangi Jaringan Kampung Orang Asli sehingga menyebabkan aktiviti pembalakan di hutan simpan Balah terhalang.

Berikutan itu pada akhir November lepas polis menahan 47 kumpulan Orang Asal yang terbabit dengan sekatan laluan pembalakan di Simpang Petei.

Bagaimanapun kumpulan Orang Asal terbabit difahamkan mendirikan semula sekatan laluan pembalakan di Simpang Petei, Pos Pasik dan Bihai seolah-olah mencabar agensi pengkuatkuasa. – HARAKAHDAILY 18/1/2017

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment