oleh Norzana Razaly
Kerajaan Negeri Kelantan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh ahli al-Quran yang mewakili Negeri Kelantan sehingga dinobatkan sebagai johan keseluruhan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/2020M.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Haji Nasruddin bin Haji Daud menerima hadiah johan keseluruhan daripada Yang Dipertua negeri Sabah Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Dr Haji Johar bin Mahiruddin.
Menurut beliau, kali terakhir Kelantan menjadi johan keseluruhan ialah pada tahun 2018 di Melaka. Dua tahun kemudian, Kelantan ulangi kejayaan ini dengan lebih bermakna kerana kita dapat buktikan insan istimewa anak Kelantan bukan calang-calang gerangan.
“Johan Qari kali ini amat istimewa mewakili golongan yang bukan sahaja kelainan upaya (OKU) bahkan beliau memiliki kehebatan yang amat luar biasa upaya.
“Qari kita ini mengulangi kejayaan senior beliau, Ustaz Abdullah Fahmi yang juga mantan siswa kolej milik Kerajaan Kerajaan Negeri Kelantan”, ujarnya.
Kelantan berjaya merangkul johan keseluruhan setelah peserta tilawahnya iaitu Muhamad Qayyim Nizar bin Sarimi menjadi johan qari dengan markah 90.66 peratus.
Majlis gilang-gemilang yang berlangsung dari 16 hingga 21 Februari 2020 di dewan Sabah International Convention Centre (SICC) itu disertai oleh 108 orang qari dan qariah serta para huffaz.
Tambah membanggakan, pasangan adik beradik iaitu Puteri Aminah binti Mohd Hanif dan adiknya Puteri Auni Khadeeja binti Mohd Hanif menjadi johan kategori hafazan.
Puteri Aminah menjadi johan tahap 1-30 juzuk berserta tafsir dengan markah sebanyak 97.10 peratus, manakala Puteri Auni Khadeeja menjadi johan tahap 1-20 juzuk dengan markah sebanyak 97.83 peratus.
Dengan kemenangan itu, mereka masing-masing membawa pulang RM15,000, serta tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderahati dan sijil.
Di samping itu, peserta dari Kelantan juga iaitu Muhamad Zulhanif bin Mohd Rosdi berjaya meraih naib johan bagi kategori hafazan tahap 1-30 juzuk berserta tafsir bahagian lelaki dengan markah sebanyak 95.80 peratus.
Secara rinci, 28 daripadanya adalah peserta tilawah iaitu 14 orang qari dan 14 orang qariah, manakala 80 peserta hafazan iaitu 41 orang hafiz dan 39 hafizah dari 14 buah negeri di Malaysia.
Sejarah merekodkan, Kelantan sebelum ini telah melahirkan ramai johan qari dan qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya ialah Ustaz Haji Yahya bin Daud, Ustaz HajiAbdul Rahim bin Ahmad, Ustaz Mohd Husin bin Yunus, Ustaz Abdullah Fahmi bin Che Noh, Dato’ Hajjah Faridah binti Mat Saman dan lain-lain lagi.- UPKN KELANTAN 23/2/2020
Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2608624506038567