
RANTAU PANJANG – “Alhamdulillah, kedua-dua halangan iaitu tuntutan mahkamah dan kontrak kayu getah telah dapat diselesaikan walaupun melalui satu tempoh yang amat panjang,” kata Ketua Jajahan Pasir Mas Hazmi Abdul Hamid.
Beliau berkata demikian semasa hadir bersama Menteri Besar YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dalam menyempurnakan acara penyampaian suratan hak milik tanah, Isnin lepas.
Jelasnya, bagi kerja-kerja pengeluaran kayu getah di kawasan yang telah diluluskan pemberian hak milik telah diselesaikan oleh pihak syarikat dan mereka telah bersetuju untuk membebaskan kawasan tersebut untuk proses pengeluaran hak milik walaupun masih dalam kontrak.
Kawasan Rancangan Pembangunan Tanah Bukit Tandak yang terletak di Rantau Panjang adalah tanah kerajaan yang dibebaskan daripada Hutan Simpan serta dimajukan sejak tahun 1979 oleh FELCRA Berhad dan peserta dari koperasi FELCRA yang terpilih.
Bagaimanapun, pada tahun 2014 Pihak Berkuasa Negeri telah bersetuju dengan cadangan pemberian hak milik Kawasan Rancangan Pembangunan Tanah Bukit Tandak secara individu iaitu dengan had keluasan tiga ekar bagi setiap peserta yang layak.
Hasilnya, pada tahun 2016, 165 permohonan telah diluluskan untuk memiliki tanah kerajaan di Bukit Tandak seluas 495 ekar.
Berikutnya, pada tahun 2018 satu kontrak perjanjian pengeluaran dan jualan kayu getah dari tanah kerajaan di Bukit Tandak dengan keluasan 689.758 hektar antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Syarikat Perniagaan Mazlan & Hashimah telah ditandatangani, menyebabkan proses pengeluaran hak milik ditangguhkan sehingga kerja-kerja kontrak tersebut selesai.
Terdahulu, semua 154 peneroka yang menerima manfaat hasil daripada Pihak Berkuasa Negeri itu rata-rata meluahkan kesyukuran dan gembira, menandakan bermulanya pembangunan semula bagi kawasan Bukit Tandak.
Ikuti berita dalam Buletin Darulnaim.
#ViraliyatBerita4ptg