Kerajaan negeri bantu empat peniaga malang

sinar harianTANAH MERAH – Nasib malang empat mangsa kebakaran yang memusnahkan bangunan lot kedai tiga pintu di Jalan Jedok, dekat sini, 21 April lalu, mendapat perhatian kerajaan negeri.

Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah motosikal dan empat kereta, menyebabkan kerugian hampir suku juta ringgit.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang melawat mangsa terbabit meminta mereka bersabar atas ujian itu.

“Saya mohon mereka menerima ujian ini dengan reda serta bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa.

“Sabar dan berdoa semoga ALLAH menggantikan apa yang hilang dalam kebakaran ini dengan nikmat lebih baik,” katanya selepas melawat lokasi kebakaran.

Kebakaran kira-kira jam 8.15 malam itu memusnahkan sebuah bengkel kereta, sebuah kedai pakaian terpakai dan dua kedai makan.

Pada lawatan itu, Abdul Fattah menyampaikan sumbangan untuk mangsa daripada Tabung Serambi Mekah di bawah kerajaan negeri dan Tabung Kecaknaan Rakyat Tanah Merah, Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM).

Abdul Fattah berkata, mangsa terbabit diharap terus berusaha gigih membangunkan semula perniagaan masing-masing dan pada masa sama tidak lupa terhadap hak ALLAH.

“Minta peniaga berusaha lebih lagi dan dalam kita mencari rezeki, hak ALLAH terutama pembayaran zakat dan sebagainya perlu dijaga,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa prihatin kebajikan rakyat terutama mereka yang ditimpa musibah seperti kebakaran dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban rakyat terlibat.

-sinarharian

(Visited 10 times, 4 visits today)

Add Comment