Kerajaan negeri puas hati

KOTA BHARU – Kerajaan negeri berpuas hati dan gembira apabila penganjur Kejohanan Muay Kebangsaan 2016 ‘With The Best of Kelantan Fighters’ mematuhi tujuh syarat ditetapkan, sekali gus membolehkan aksi pembuka tirai kejohanan itu berlangsung dengan lancar di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, aspek pematuhan undang-undang adalah terpulang kepada sesuatu acara sukan itu sendiri dan tidak timbul sebarang isu mengenai tujuh kriteria ditetapkan.

“Dulu kita (kerajaan negeri) pernah beritahu, tapi bila lama sangat (peraturan itu) sejuk sekejap. Sekarang kita hangatkan kembali.

“Kerajaan negeri memang mahu memperkasakan kembali sukan muay thai dan kita mahu setiap penganjuran sukan di negeri ini berjalan dengan baik,” katanya.

Antara syarat yang ditetapkan ialah semua petinju diwajibkan menutup aurat selain tidak dibenarkan memakai sebarang tangkal atau azimat yang boleh menjurus kepada unsur khurafat.

Kejohanan yang berakhir malam tadi menampilkan 20 petinju terhebat termasuk dari Thailand, Terengganu, Pahang, Kedah serta Kelantan selaku tuan rumah dan disaksikan hampir 20,000 peminat sukan muay thai.

Abdul Fattah menegaskan, dasar kerajaan negeri adalah sangat jelas, iaitu mahu memastikan setiap pelaksanaan aktiviti sukan yang berlangsung di negeri ini adalah berlandaskan ciri-ciri Islam.

“Saya bercakap dengan Datuk Muhd Shahnaz Azmi (Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia) dan saya beritahu, kita tiada masalah menganjurkan pertandingan ini dan kita harap apa yang dibuat di sini dapat diterima pada peringkat kebangsaan,” katanya.

Dalam masa sama, Abdul Fattah memberitahu, pihaknya bersedia mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan kejohanan tersebut sebagai acara tahunan kerajaan negeri.

“Itu kita akan bincang dan pertimbangkan. Ada (kejohanan) yang persatuan anjurkan sendiri dan ada juga kerajaan negeri turut anjurkan tetapi apa yang lebih penting ia menjadi perangsang kepada penganjur dan peminat sukan muay thai di negeri ini.

“Saya lihat penyokong begitu ramai. Mereka juga penuh berdisiplin dan saya kena ucap tahniah kepada mereka. Kalau perlu (penganjuran) siri kedua, kita boleh bincang dan Urus setia Belia dan Sukan (U-BeS) boleh jadikan ia acara tahunan,” katanya.- SINAR HARIAN

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment