

oleh Che Maziah Mat
KOTA BHARU, 21 Mei: Sejumlah RM32,000 telah berjaya dikumpulkan hasil lelongan tiga bilah keris koleksi eksklusif milik YB Dato’ Menteri Besar Kelantan serta sumbangan peribadi sebanyak RM28,000 menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM60,000 untuk disalurkan bagi membantu umat Islam di Palestin melalui kempen #Aid4Palestine.
Lelongan yang berlangsung selama 24 jam itu menyaksikan seramai 15 orang pembida telah mencuba nasib dengan jumlah bidaan masing-masing melebihi RM10,000 ke atas. Keputusan lelongan tersebut diuruseliakan oleh Pertubuhan Cakna Palestin dan semua bayaran telah ditunaikan oleh pembida dan penderma terus ke akaun Cakna Palestin.
Keputusan rasmi keris pertama yang diberi jolokan nama Keris Melela mendapat bidaan paling tinggi oleh Encik Rushdan Rusmi dari Negeri Perlis dengan bidaan RM17,000. Manakala keris kedua, Bugis Patani yang dibida dengan harga RM9,000 telah dimiliki oleh Datuk Hazreeq Putra Dato’ Hasman dari Cheras, Kuala Lumpur dan terakhir adalah Keris Bugis yang menjadi milik Encik Aziz Yusoff dengan bidaan harga sebanyak RM6,500.
Sementara itu, sumbangan peribadi daripada lima orang penyumbang yang walaupun tidak memenangi apa-apa bidaan adalah Dato’ Stanley Chew (RM10,000), Datuk Sri Tan Choo Hwa (RM3,000), Encik Tan Mow Heng (RM10,000), Encik Gan Leong Piow (RM3,000) dan Asas Tegoh Solution Sdn Bhd (RM1,500).
“Saya mengucapkan tahniah dan sangat berterima kasih kepada pembida-pembida yang telah berjaya dan juga kepada mereka yang telah menyumbang walaupun tidak berjaya dalam proses bidaan tersebut. Kita amat beruntung kerana ada wakil dari non-Muslim yang bersama-sama menyokong kita untuk membantu umat islam di Palestin,” katanya pada sidang media.
Majlis penyerahan replika cek dan sijil telah disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah, diiringi oleh Presiden Cakna Palestin, Ustaz Wan Mohd Sharafi Wan Mustafa yang juga mewakili Sekretariat Aid4Palestin.