G 25 gabungan pihak yang bergabung untuk mencari kesesuaian hukum Islam mengikut aqal dan undang2 ciptaan manusia atau yang ingin mencari populariti dan kontroversi atau gabungan untuk apa sebenarnya!
Di saat orang Barat dan Timur mencari2 dan teruja dengan kebenaran dan keajaiban ilmu dalam alquran, ada juga golongan yang tidak serik2 memuja hukuman ciptaan manusia.
Mengucap syahadataini ertinya menerima dan patuh kepada semua wahyu Allah dan sunnah Rasulnya bukan memilih dan memakai apa sahaja yang kena selera dan bila masa yang kita suka.
Agama Islam berbeza dengan ajaran lain kerana ia bukan ritual semata tetapi ia adalah sistem kehidupan secara keseluruhan dari lahir hingga mati, dari ekonomi hingga politik, atasan dan bawahan , raja dan rakyat, ulama’ dan orang awam, dulu dan sekarang juga akan datang.
Mendakwa dan mahu semua orang menerima pakai anggapan bahawa khalwat adalah isu privasi adalah diluar kewajaran aqal dan adab manusia.
Khalwat adalah kanser rumahtangga dua orang manusia dari dua buah keluarga dan ia bukan sebuah cereka
Orang yang bertamaddun mahu sesuatu yang bersih dan suci dalam perhubungan yang sah dan diterima undang-undang. Kaitan hak dan tanggungjawab bukan hanya seketika semasa seronok bersuka2 namun ia adalah tanggungjawab berpanjangan lagi berterusan.
Betapa dhaif dan rendahnya maruah seorang manusia lelaki atau perempuan dengan menjalin hubungan dengan orang yang dikasihi dengan sembunyi dan tanpa liabiliti. Terima dan belajarlah bahawa semua perkara didunia ada nilai,kos dan tanggungjawabnya .Hidup ini bukan funfair!
Yang kini dipanggil skandal dengan wanita atau lelaki itu adalah perbuatan tak bermoral di Barat yang dilakukan pelakunya di rumah dan bilik mereka. Hasilnya banyak negarawan dan atasan dunia terhumban kerana skandal seumpama ini yang dicari atau diperangkap!
Hubungan sulit ditempat sunyi atau tersembunyi ini di bawah enakmen Keluarga Islam disebut khalwat atau berdua2an tanpa hubungan yang sah dan dalam keadaan yang menimbulkan syak.
Nah, kenapa yang dipanggil skandal itu tiada yang menentang tapi bila dipanggil khalwat maka jadi isu? Kalau atas nama privasi , sulit itu adalah privasi.
Jangan lupa Islam bukan agama hanya sesuai untuk menjaga individu tapi juga untuk menjaga dan melindungi keluarga dan masyarakat. Sama ada semasa gembira dan muda atau ketika tua dan duka.Di depan orang ramai atau terpencil disudut kecil.
Saranan buat G 25-banyak lagi yang gabungan pesara boleh lakukan selain menjuarai dan membela isu khalwat ! Jadilah warga veteran yang bermaruah dan berbudi dengan mencari jodoh dan menjaga kebajikan yang berseorangan tua atau muda, lelaki atau perempuan. Bukan semua manusia ada jodohnya, bukan semua jodohnya panjang namun sebagai manusia semua manusia punya nafsu dan dahagakan kasih sayang.
Maka tugas kita dan G 25 untuk mencari pendekatan bagi menyalurkan kasih sayang ini dilandasan yang benar dan mengikut undang-undang dalam kehidupan berkeluarga yang saling menghormati dan diberkati;bukan saling menikmati atas dasar samarela dan bila habis madu sepahnya akan berakhir dengan sama derita.
Disana nun ada berjuta isu dalam amalan dan hubungan lelaki dan wanita di negara kita yang boleh diadvokasi dan diperbaiki demi menjamin keutuhan dan hak keluarga dan hak seorang individu selain Khalwat!
Hormatilah undang-undang dan adab jika anda mahu kekal dihormati sebagai manusia yang pernah dan banyak berbudi pada negara dan agama.
“Syariat Allah Membimbing Raja Dan Rakyat Sepanjang Zaman ”
Allahu Akbar!
Mumtaz Md Nawi
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan
Negeri Kelantan