Kongres Rakyat Kelantan semarak suara rakyat

MELABUHKAN kalendar tirai 2016, semarak Kongres Rakyat terus dihangatkan. Negeri Tanah Serendah Sikebun Bunga menjadi medan akhir Kongres Rakyat bagi pusingan ini.

Sebagaimana telah dimulakan di peringkat nasional Oktober 2015, pelbagai isu-isu rakyat telah diketengahkan melalui Kongres Rakyat. Demikian pula, isu yang menyentuh kepentingan orang kurang upaya “OKU”, wanita, keluarga, alam sekitar dan lain-lainnya  terus mencuri ruang dalam sidang Kongres penutup 2016.

Meletakkan suara-suara mewakili pelbagai sekmen masyarakat di dalam Kongres Rakyat adalah menjadi antara teras kongres ini dicetuskan sejak awal. Penganjuran Kongres Rakyat adalah suatu medan di mana pelbagai segmen masyarakat yang mungkin saja terperosok suaranya di tengah kekalutan suasana hari ini didengari oleh mereka yang berkuasa dan masyarakat umum.

Medan ini sangat signifikan untuk rakyat meluahkan pandangan dan menzahirkan denyut nadinya untuk didengari oleh mereka yang berkuasa bagi menentukan hala tuju negara atau negeri. Jika sesuatu ketetapan sebelumnya telah dibuat oleh pemerintah berpandukan pelbagai fakta dan perangkaan, melalui Kongres Rakyat ini setidak-tidaknya pemerintah punyai pandangan yang kedua tentang apa yang telah dilaksanakan selama ini.

Jika sebelum ini idea mengebum di kalangan rakyat berkisar hanya di kedai-kedai kopi atau di warung-warung, Kongres Rakyat telah membuka ruang percambahan pandangan yang lebih bersifat santun dan bertamadun.

Apatah lagi cukup merujakan bilamana dalam Kongres Rakyat penutup 2016 menyaksikan pimpinan utama negeri turut hadir untuk mendengar dan mengikuti sendiri pelbagai pandangan dan luahan rakyat. Tidak lain tidak bukan, para pembentang dan pembahas tentunya mengharapkan suatu tindakan terkehadapan sedia diteliti dan dihalusi oleh mereka yang berkuasa sebaik tirai Kongres dilabuhkan.

Inilah antara usaha dalam membudayakan politik yang bersifat matang bagi menyerlahkan suasana yang lebih sejahtera buat rakyat. Politik yang merangsang rakyat untuk melontar pandangan secara lebih teratur dan beradab meskipun di sana perasaan dan emosi berturutan, terserlah juga dalam setiap penyampaian.

Melalui Kongres Rakyat juga, rakyat dirangsang untuk mengemukakan kaedah penyelesaian kepada setiap isu yang didepani. Rakyat terus dirangsang agar membantah itu bukan sekadar meluahkan rasa membuta tuli, tetapi disampaikan secara penuh sopan biarpun beremosi. Rakyat juga didorong untuk menyokong dengan fakta bukan hanya memborong persepsi dan akhirnya dihambur dengan penuh sangsi.

Membuka tahun 2017, sudah barang tentu medan Kongres Rakyat akan terus dibincang di beberapa negeri lagi. Kepada setiap penggiat dan pendukung masyarakat, jadikanlah Kongres Rakyat ini sebagai ruang rakyat berbicara untuk rintihannya didengar oleh sang penguasa. – HARAKAHDAILY 29/12/2016

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kongres Rakyat Kebangsaan.

(Visited 3 times, 1 visits today)

Add Comment