KOTA BHARU – Pada sesi lawatan Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah dan rombongan ke Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan hari ini, beliau bersama rombongan telah dibawa melawat antaranya Galeri Warisan, Makmal Ujimutu Batik, Demonstrasi Kraf-Padai Besi dan Galeri Evolusi Batik.
Pada sesi demonstrasi kraf, dua orang Adiguru Kraf iaitu Che Isa Samat (Serunai) dan Che Mud Che Awang (Jebak Puyuh) menampilkan kreativiti mereka dalam mengukir barangan kraf masing-masing.
Selain itu, rombongan juga dibawa melawat ke Bengkel Batik Skrin (Demonstrasi Batik Skrin-Mesin Skrin), Bengkel Batik dan Bengkel Inkubator Batik.
Turut mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, YB Mejar (B) Dato’ Md. Anizam Ab. Rahman, Timbalan Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, YB Dato’ Haji Hassan Mohamood dan Pengarah Muzium Negeri, Ahmad Shargowi Derahman.
Pada sesi taklimat sebelumnya yang disampaikan oleh Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Nor Azmi Ismail, antara perkara yang dijelaskan adalah tentang Percapaian KPI Keseluruhan Cawangan Kelantan pada tahun 2020 sehingga 30 Jun 2020 dengan nilai jualan sebanyak RM 18,230,731.78 (79.3 peratus) yang mana sasarannya sebanyak RM 23,000,000,00 membabitkan 530 usahawan (96.4 peratus) daripada sasaran 550 usahawan dengan bilangan tenaga kerja seramai 2,664 orang (98.6 peratus) daripada sasaran 2,700 orang.
Selain itu, beliau turut menjelaskan tentang program satu daerah satu industri produk kraf yang sudah membabitkan beberapa daerah di Kelantan seperti Kraf Batik (Kota Bharu), Kraf Tenunan (Kampung Penambang, Kota Bharu), Kraf Perak (Kampung Morak, Tumpat).
Kraf Anyaman Rotan (Kampung Gelas Mas, Pasir Mas), Kraf Anyaman Buluh (Kampung Jal, Tumpat), Kraf Pandai Besi (Kampung Perangkap, Pasir Mas), Anyaman Mengkuang (Kampung Bukit Tanah, Pasir Puteh) dan Kraf Ukiran Kayu (Kampung Panjang, Banggu, Kota Bharu).