oleh Norzana Razaly
KUALA KRAI – Projek pembenihan ikan air tawar yang diusahakan Mohd. Ruzaini Maimun, 37, terbukti memberi hasil lumayan.
Minat mendalam dan berpengetahuan mengenai bidang yang berpotensi tinggi, mendorong bapa kepada tiga anak ini menceburi perniagaan tersebut.
Bermodalkan RM70 ribu untuk permulaan kos operasi, belia kelahiran kampung Sungai Durian Kuala Krai, Kelantan kini berpuas hati dengan kapasiti pengeluaran 700 ribu benih keli dan patin sebulan.
“Mula operasi tahun 2004, sekarang kita ada 27 buah kolam tanah, 43 kolam simen dan 16 unit tangki fibreglass di lokasi asuhan benih ikan, di Kuala Krai. Tahun 2020 kita buka pula cawangan di Jeli”, kata belia Kelantan yang berpendapatan RM70 ribu sebulan itu.
Beliau menyedari belia bumiputera kurang terlibat di dalam bidang ini walhal pasarannya luas. Pelanggannya ialah penternak ikan air tawar dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Krai Aquaculture mensasarkan 3.5 juta pengeluaran benih keli dan patin setelah cawangan baharu beroperasi sepenuhnya pada tahun 2021.
Bantuan ilmu dan kepakaran diterima daripada Jabatan Perikanan dan RISDA dalam menjayakan projek ini. Manakala pinjaman pula diperolehi daripada Agro Bank, Public Bank dan Lembaga Pertubuhan Peladang.
“Kita juga berterima kasih kepada Ketua Jajahan Jeli, Nik Raisnan Daud di atas sokongan moral terhadap usahawan belia. Inisiatif beliau ini membuka peluang pekerjaan kepada belia sekitar dan memajukan projek agro pelancongan utama di Jeli.
“Diharap Kerajaan Negeri Kelantan terus beri tumpuan dan peruntukan khas kepada projek ini.
“Sebagai motivasi, Krai Aquaculture sedia menawarkan sumbangan 250 ribu benih ikan air tawar secara percuma setiap tahun kepada rakyat Kelantan yang mahu berjinak-jinak di dalam bidang ini ”, ujar anak muda Kelantan yang bercita-cita menjadi jutawan agro sebelum usia 40 tahun.
Individu atau syarikat yang berminat untuk mendapatkan benih ikan air tawar boleh menghubungi Mohd. Ruzaini di talian 013-981 2200 ataupun agennya, Lah 018-908 4838.
#kejayaananakKelantan
#kerjadikampungpunglamour
#Kelantanlubukrezeki
#jutawansenyapKlate