oleh Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM – Kerajaan Negeri Kelantan semakin memperkemaskan pentadbiran negeri selari dengan arus perdana dari masa ke semasa.
Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar, YB Ustaz Haji Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) membuktikan kemantapan kerjasama di antara pihak kerajaan persekutuan dan negeri demi semangat federalisme.
Surat pelantikan tersebut diserahkan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), YBhg Datuk Kamarudin Md Nor kepada YB Exco berserta surat jemputan ke Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KADA Bil 2/2020 pada 13 Ogos ini di MABNA, petang tadi.
YB Mohd Saripudin menzahirkan kesyukuran dan terima kasih di atas kunjungan hormat pihak KADA dan lantikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Beliau menyifatkan pelantikan yang termaktub di dalam perkara 5 (1) (g) Akta 69 Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu 1972 itu sebagai pecah tradisi kerana julung kalinya ALP KADA dilantik daripada wakil Kerajaan Negeri Kelantan selepas 40 tahun.
“Pelantikan ini diharapkan dapat melincinkan urusan pembangunan pertanian khususnya tanaman padi di antara pihak Kerajaan Negeri dan persekutuan.
Kemudahan infrastruktur tanaman padi, pendidikan pertanian dan kebajikan pesawah juga dapat disalurkan dengan sebaiknya”, ujarnya.