Lebih 30,000 ekar dibangun tanpa kelulusan

KOTA BHARU: Beberapa agensi pembangunan tanah milik kerajaan pusat di Kelantan membangunkan ladang seluas 30,689 ekar tanpa mendapat kelulusan dasar kerajaan negeri.

Agensi terbabit iaitu Felda, Felcra dan Risda meneroka tanah kerajaan sejak sebelum 1990 di beberapa tempat di negeri tersebut.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata tanah-tanah yang diteroka terbabit belum mendapat kelulusan dasar dibuat ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Sekarang isu tersebut sedang dibincangkan di peringkat pentadbiran. Kerajaan negeri juga ada memberi pajakan kawasan yang dibangun Kesedar tanpa kelulusan dasar sebelum ini selama 21 tahun.

“Begitu juga tanah yang dimajukan Felcra di Rantau Panjang akan diagih kepada peneroka yang terlibat,” katanya pada persidangan Dun hari ini.

Ketika menjawab soalan Adun Dabong, Datuk Mohd Ramzi Abdul Rahman, katanya kerajaan negeri sudah meluluskan geran tanah yang dimohon Kesedar selepas ditangguh sebelum ini.

Menurutnya penangguhan itu dibuat memandangkan Kesedar tidak melantik tiga lembaga pengarah sebagai wakil kerajaan negeri dalam lembaganya selaras dengan Akta Kesedar.

Kata beliau sebelum ini Kesedar hanya menerima pelantikan dua lembaga pengarah sahaja daripada kerajaan negeri.

“Dan sekarang tiga orang wakil rakyat negeri sudah dilantik. Jadi kerajaan negeri memproses semula permohonan tanah yang diajukan Kesedar sebelum ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/10/2016

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment