
KOTA BHARU – Majlis Sidang Media Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Bagi Tahun 2020 disempurnakan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz selaku Yang Dipertua MAIK di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, Panji hari ini.
MAIK membentangkan laporan tersebut sebagai laporan tahunan dan ianya boleh dijadikan rujukan dan penelitian oleh semua pihak bagi menilai tahap kecekapan dan capaian terimaan zakat oleh para asnaf yang layak.
Pada tahun 2020, MAIK juga telah melancarkan Program Prihatin MAIK Covid-19 yang telah membelanjakan peruntukan RM 21.9 juta membabitkan tiga fasa pelaksanaan. Penerima bantuan ini dapat menerima manfaat secara langsung seterusnya memberikan kelegaan ketika berdepan dengan kesempitan.
Terimaan pelbagai jenis zakat MAIK sehingga Disember 2020 adalah berjumlah RM 202, 654, 986.00 dengan lebih 30 bentuk program agihan yang memberi manfaat kepada asnaf yang layak di seluruh pelusuk negeri Kelantan.
Untuk perbelanjaan zakat MAIK bagi tahun 2020, sejumlah RM 185, 584, 088.00 telah diagihkan. Perbelanjaan Program Asnaf Fakir dan Miskin, segmen ini telah mencatatkan pecahan terbesar dalam program agihan zakat yang mana sejumlah RM 111, 185, 101.00 telah diagihkan sepanjang tahun 2020 berbanding tahun lalu yang berjumlah RM 109, 220, 620.00.
Antara program bantuan yang dilaksanakan termasuklah Bantuan Bulanan Fakir dan Miskin berjumlah RM 41, 289, 100.00 dengan pelaksanaan dua skim bantuan iaitu dengan bantuan tunai RM 400 sebulan kepada 6,978 orang dan RM 200 sebulan kepada 925 orang.
Pada majlis tersebut, Sumbangan Pengurusan yang merupakan bantuan tahunan sebanyak RM 2.5 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menerima sejumlah RM 200 ribu dan turut diadakan Pengurniaan Sumbangan Kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat tanah runtuh di Jajahan Pasir Mas yang diwakili oleh Ketua Jajahan Pasir Mas dengan sumbangan berjumlah RM 50 ribu.
Antara pertubuhan yang turut menerima sumbangan ialah Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) berjumlah RM 124 ribu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Kelantan berjumlah RM 100 ribu, Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) Negeri Kelantan berjumlah RM 100 ribu, Persatuan Kebajikan Islam Saudara Baru Kelantan (ICWS) berjumlah RM 70 ribu, Yayasan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM) berjumlah RM 50 ribu, Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) berjumlah RM 50 ribu, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kelantan berjumlah RM 40 ribu dan Yayasan Amal Dato’ Zul Wisma berjumlah RM 20 ribu.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud, Timbalan Yang Dipertua MAIK, YABrs Haji Zulkifle Ab Rahman, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) YB Dato’ Haji Che Abdul Rahim Jusoh, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, YB SF Dato’ Haji Nik Abdul Kadir Nik Mohamad serta pegawai tinggi MAIK.