Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra

KOTA BHARU – Seramai 270 orang graduan menerima Diploma masing-masing daripada Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan, Haji Ahmad Yakob pada Majlis Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) kali ke-19 di Balai Islam baru lalu.

Antara bidang pengkhususan yang terbabit ialah Diploma Usuluddin, Diploma al-Syariah, Diploma al-Dakwah Wal Qiadah, Diploma Dakwah Dengan Media, Diploma Kewangan Islam, Diploma Perbankan Islam, Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan, Diploma Tahfiz al-Quran, Diploma Qiraat dan Tarannum, Diploma Bahasa Arab, Diploma Pengajian Islam dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Secara Islam.

Berucap pada majlis tersebut Haji Ahmad berkata, dunia pendidikan adalah suatu pelaburan yang sangat penting dalam sesebuah negara. Percapaian yang dijana melalui sistem pendidikan berkesan akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

“Proses pendidikan merupakan kaedah yang sangat berkesan bagi membentuk dan mengembangkan minda dan rohani ke arah mengenali diri dan mencapai tahap kehidupan bermasyarakat yang sejahtera.

Kerana itulah Islam sangat mengutamakan serta memartabatkan ilmu pengetahuan dan golongan yang berilmu. Kita sedar bahawa ilmu yang bermanfaat untuk manusia ialah ilmu wahyu yang disepadukan dengan keperluan kehidupan kerana ilmu yang berlandaskan wahyu dapat menjamin kejayaan di dunia dan akhirat,” katanya.

Katanya, melalui perkembangan tamadun ilmu itulah lahirnya ramai para ulamak yang terkemuka. Mereka berusaha membangunkan ummah dengan ilmu dan pada masa mereka pelbagai teori ilmu dicetuskan sehingga dunia Islam digeruni oleh Barat.

Rentetan itu tambahnya, Kerajaan Negeri melalui KIAS berusaha menyediakan sistem pendidikan bagi memenuhi tuntutan syarak dan dapat memenuhi keperluan hidup di dunia dan akhirat supaya lepasan KIAS menjadi golongan yang mampu mencorak tamadun ummah di samping dapat meletakkan dirinya pada kedudukan yang sesuai dalam masyarakat.

“Agenda pembangunan ilmu-ilmu Islam turut diberi perhatian sewajarnya oleh pihak Kerajaan Negeri dan kita akan memperuntukkan sejumlah kewangan demi menjayakan kursus Dilpoma Tasawwur Islam di KIAS bagi semua pegawai-pegawai negeri gred 41 ke atas.

Budaya ilmu ini sebenarnya telah dijadikan salah satu tonggak pembangunan negeri dalam segenap bidang, baik pentadbiran, ekonomi dan undang-undang. Apabila budaya ilmu ini diwujudkan dalam pentadbiran ianya memberi kesan yang baik dan dapat meningkatkan kualiti kerja serta hasil yang memuaskan kepada negeri,” katanya.

Tambahnya, kita ingin menjadikan negeri ini sebagai model dalam pentadbiran ala Khulafah Al-Rasyidin yang amat mementingkan agenda pembangunan ilmu-ilmu tasawwur Islam dan juga pendidikan moden. Agenda ilmu pada hakikatnya merupakan agenda yang boleh merubah sesebuah negeri atau negara itu menjadi semakin membangun dan maju.

“Sesungguhnya Islam telah berjaya mengubah wajah Negara Andalus suatu ketika dahulu daripada sebuah negara yang mundur dan miskin kepada satu tahap ketamadunan yang tinggi dan dikagumi oleh dunia. Orang Islam Andalus telah menyedarkan masyarakat Barat dari tidur yang lena seterusnya membawa mereka ke zaman kemajuan dan peradaban.

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM 2 juta kepada KIAS melalui Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) bagi meneruskan program pembangunan dan pengurusan operasi harian. Insya Allah peruntukan ini akan dipertingkatkan daripada semasa ke semasa khasnya dalam usaha KIAS menuju Kolej Universiti nanti,” tambahnya.

Katanya lagi, menerusi YAKIN juga, Kerajaan Negeri telah berjaya memeteraikan kerjasama dengan beberapa buah negara luar untuk tujuan pembangunan pendidikan di peringkat pengajian tinggi. Kerjasama akademik dengan Negara Turki sedang giat diusahakan dan Kerajaan Negeri telah menaja 10 orang pelajar bagi melangsungkan pengajian perubatan di sana.

“Kerajaan Negeri juga sedang membuat hubungan kerja dengan beberapa institusi pengajian tinggi seperti di Indonesia dan Qatar. Ini termasuklah kerjasama akademik dengan Universiti Islam Madinah yang telah dimaterai perjanjiannya pada Januari lalu.

Dari segi infrastruktur pendidikan, Kerajaan Negeri telah berjaya mewujudkan hostel kediaman pelajar Kelantan di Mesir iaitu Wisma Sultan Muhammad V dan Wisma Tengku Mahkota Kelantan yang telah sempurna dirasmikan oleh YMM Pemangku Raja Kelantan pada Januari tahun ini,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, beliau yakin dengan kemampuan KIAS pada hari ini akan menempatkan KIAS sebaris dengan IPTA/IPTS lain bahkan lebih baik lagi yang mana sehingga kini KIAS mempunyai 12 program Diploma, 2 program peringkat Sarjana Muda dengan KUIN Kedah, 1 program di peringkat Sijil dan setelah mendapat kelulusan MQA, KIAS akan memulakan 4 program baru iaitu peringkat diploma; Diploma Pengajian Ilmu Turath dan Diploma Al-Quran Wal Qira’at sementara di peringkat Sarjana; Sarjana Muda Pengurusan Pentadbiran dan Sarjana Muda Bahasa Arab.- UNIT PENERBITAN UPKN KELANTAN 22/8/2017

(Visited 21 times, 1 visits today)

Add Comment