RANTAU PANJANG: Walaupun banjir di Kelantan sudahpun berlalu namun beberapa buah kampung masih digenangi air banjir, antaranya Kampung Kelawar, Kampung Banggol Kor, Kampung Banggol Nyior dan Kampung Lancan yang terletak dalam Dun Meranti.
Ekoran daripada itu, Anggota Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, berperahu meredah banjir dari rumah ke rumah di kampung-kampung tersebut untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka.
Turut serta dalam misi itu Anggota Jawatankuasa Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Negeri Kelantan, Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim, Yayasan Amal, Penghulu Mukim dan Briged Muslimat.
Menurutnya, hampir 200 keluarga masih menggunakan perahu untuk urusan harian kerana masalah itu.
Katanya, ia adalah fenomena yang sering berlaku setiap tahun apabila berlakunya banjir.
“Sebagai tanda simpati, sebagai tanda ingatan pada mereka, alhamdulillah kita kongsikan sumbangan ini pada mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak jemu-jemu membantu dalam menangani masalah banjir dalam parlimen tersebut.
Katanya, sumbangan bentuk kewangan, tenaga, buah fikiran benar-benar dapat membantunya dalam menangani masaalah itu.
Pada masa yang sama Zailah memberitahu, penduduk kampung berkenaan hilang punca pendapatan apabila pokok getah yang ditoreh mereka lama terendam dalam air.
“Dianggarkan sebulan mereka tidak dapat menoreh kerana masalah hujan, banjir dan kini pokok-pokok getah masih digendangi air,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/1/2017