PASIR MAS – Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) berikhtiar merawat air di dalam kolam takungan di Pasar Tasik Raja, longkang dan parit secara alami.
Pengerusi Unit Kebersihan, Keindahan dan Alam Sekitar MDPM, Sabri Yusof berkata pihaknya cuba mencari alternatif untuk merawat, menjernihkan dan mengeyah bau daripada pusat takungan air buangan menggunakan kaedah organik.
“Kita undang badan bukan kerajaan (NGO) menerangkan kaedah merawat pencemaran warna dan bau menggunakan bebola mikrob (biomud ball) yang diperbuat daripada tanah liat terpilih, dedak dan mikrooragnisme baik,” katanya selepas taklimat di Bilik Mesyuarat Utama MDPM, hari ini.
Sehubungan itu, Setiausaha MDPM Mohd Shuhairy Samsudin memaklumkan pihaknya sangat mengambil cakna seruan Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri YB Dato’ Dr Izani Husin tentang kepentingan menjaga keindahan bandar Pasir Mas meliputi pekan Rantau Panjang melalui kempen Zon Bersih, Indah Ceria (BIC).
Menurutnya lagi, pelbagai usaha dilaksanakan bagi memelihara kebersihan dan mewujudkan Zon BIC. Antaranya ialah melalui kerjasama strategik dengan NGO yang prihatin terhadap kebersihan dan alam sekitar bagi menjaga dan mengekalkan kebersihan persekitaran bandar dan pinggir bandar.
Jelasnya, tempoh percubaan diberi untuk menguji keberkesanan produk formulasi KITABINA yang mendapat pembiayaan penyelidikan daripada Kerajaan Negeri Kelantan melalui portfolio Exco Industri Asas Tani.
“Kita beri peluang kepada KITABINA selaku aktivis tani dan cakna kebersihan yang aktif di Pasir Mas sebagai penghargaan atas kejayaan pasukan penyelidik mereka menghasilkan bebola mikrob menggunakan bahan alami yang dicampur dengan EM MAS10 dan baja SIRAM.
Gabungan tiga elemen tersebut berfungsi sebagai pemangkin pertumbuhan mikrob baik untuk menghapuskan reaksi kimia yang dihasilkan oleh mikrob jahat (petagen) penyebab air berlumpur, busuk, tersumbat dan keruh,” hurainya.