MENTERI BESAR AJAK RAKYAT PATUHI SOP SEPANJANG AIDILFITRI

webmaster

oleh Che Maziah Mat

KOTA BHARU, 13 Mei: Aidilfitri merupakan anugerah yang berharga daripada Allah SWT kepada semua Islam selepas sebulan dalam madrasah Ramadan yang merupakan bulan ibadah, bulan Al-Quran, bulan rahmat serta bulan keberkatan. Dalam Perutusan Aidilfitri 1442H, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Haji Ahmad Yakob mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh umat islam di Malaysia khasnya rakyat Negeri Kelantan Darul Naim dan sama-sama menzahirkan kesyukuran kerana masih diberi kesempatan untuk merayakannya.

Dalam perutusan Aidilfitri tersebut, beliau mengingatkan semua rakyat agar suasana sambutan hari raya Aidilfitri pada kali ini hendaklah dalam suasana norma baharu berikutan penularan wabak pandemik Covid-19 yang masih tinggi dan telah memaksa kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh pelusuk negara.

Tambahnya lagi, Negeri Kelantan telah merekodkan peningkatan kes jangkitan yang sangat membimbangkan, sehingga kini hampir 20 ribu kes jangkitan direkodkan. Kesemua hospital di negeri ini juga telah pun mencapai tahap maksimum. Namun, kerajaan telah membuka sembilan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) berikutan tahap penularan dan jangkitan yang sudah berada dalam komuniti.

Demi menjaga keselamatan semua, pihak kerajaan telah mengambil beberapa keputusan yang sukar untuk membendung penularan wabak yang merbahaya serta mengancam nyawa ini. Walaubagaimanapun kerajaan sentiasa mengambil berat mengenai aspek ekonomi dan kebajikan rakyat yang terjejas. Untuk rekod, sehingga kini (Mei 2021) kerajaan telah membelanjakan hampir RM9 juta bagi membantu kesemua rakyat yang terkesan dan bagi memulihkan sektor ekonomi yang terjejas.

“Buat anak Kelantan di perantauan, saya amat memahami betapa kerinduan anda semua untuk pulang berhari raya di kampung, jadi manfaatkanlah segala jenis ruang teknologi yang ada untuk bertanya khabar dan bersilaturahim dengan keluarga.

Yakinlah di sebalik kesusahan serta kepayahan ini, Allah S.W.T pasti akan menjanjikan kesenangan nanti, serta bersabarlah mendepani musibah wabak dan berusaha untuk menanganinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau juga menyeru semua rakyat agar menghargai jasa petugas kesihatan dan anggota keselamatan yang sentiasa berusaha bagi menghentikan jangkitan ini daripada terus menular. Sentiasa patuh setiap arahan dan mematuhi garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti tidak berhimpun dan menjaga jarak fizikal ketika sambutan hari raya nanti. Bagi pihak Kerajaan Negeri, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah berkorban tanpa mengenal erti penat lelah serta berharap agar sambutan Aidilfitri kali ini walaupun pergerakannya terbatas, namun tidak menyekat untuk semua menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan dengan cara yang sesuai dengan syariat Islam.

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Perutusan Hari Raya MB 1442H

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1442 Hijrah oleh YAB Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan. Silakan share jika bermanfaat.... Facebook 0 Twitter Print

Subscribe US Now