Muhammad Qayyim Dan Wan Sofea Aini Johan Tilawah Peringkat Negeri Kelantan

oleh Muhamad Asri Hamat

KOTA BHARU: Muhammad Qayyim Nizar bin Sarimi dan Wan Sofea Aini binti Wan Zahidi telah dinobatkan sebagai johan qari dan qariah sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan bagi Tahun 1441H/ 2020M. Muhammad Qayyim 22 penuntut tahun akhir Diploma Tahfiz Al-Quran di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail (KIAS) memperolehi markah sebanyak 82 peratus.

Walaupun cacat penglihatan dan menggunakan Al-Quran tulisan braille tidak menghalang johan menunggu peringkat negeri ini untuk sekali lagi dinobatkan sebagai johan. Sebelum ini beliau telah menjadi johan peringkat negeri sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2017 dan 2019. Pada tahun 2017 beliau mendapat tempat ketiga di Majlis Tilawah Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Melaka. Manakala pada tahun 2019 beliau menjadi Naib johan di Majlis Tilawah Al-Quran yang diadakan Negeri Sembilan.

Dalam bahagian qariah , Wan Sofea Aini 26 menjadi johan setelah memperolehi markah sebanyak 75.65 peratus. Ini penyertaan kedua beliau setelah menjadi johan peringkat negeri pada tahun 2015 ketika mewakili Jajahan Jeli. Pada tahun ini beliau mewakili Jajahan Kota Bharu.

Sementara itu dua orang adik beradik iaitu Putri Aminah binti Mohd Hanif dan Putri Auni Khadijah binti Mohd Hanif dari Maahad Tahfiz Barniyah Putri Tanah Merah menjadi johan bahagian hafazan. Putri Aminah menjadi johan tahap 1-30 juzu’ beserta tafsir manakala Putri Auni Khadijah menjadi johan tahap 1-20 juzu’.

Johan qari dan qariah menerima wang tunai berjumlah RM10,000, pakej menunaikan umrah, hadiah iringan serta sijil penyertaan. Johan hafazan tahap 1-10 juzu’ beserta tarannum menerima wang tunai sebanyak RM2500, hadiah iringan dan sijil penyertaan,tahap 1-20 juzu’ menerima wang tunai sebanyak RM3000, hadiah iringan dan sijil penyertaan manakala tahap 1-30 juzu’ beserta tafsir menerima wang tunai sebanyak RM10,000, pakej menunaikan umrah, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Johan qari dan qariah serta johan hafiz dan hafizah peringkat Negeri Kelantan akan mewakili Negeri Kelantan ke Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 13-21 Februrari 2020 bertempat di Sabah International Convention Centre Kota Kinabalu Sabah.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Dato’ Haji Ahmad bin Yakob, Menteri Besar Negeri Kelantan. Dalam ucapan penutupnya, Menteri Besar berkata umat Islam mesti menjadikan Al-Quran sebagai rujukan dalam pelbagai perkara.

Al-Quran juga menjadi sumber kekuatan ummah demi mencapai matlamat negara rahmat rakyat sejahtera yang menjadi tema Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan bagi Tahun 1441H/ 2020M.- UPKN KELANTAN 18/01/2020

(Visited 25 times, 1 visits today)

Add Comment