SIRI 1: NAIMBIF ALTERNATIF PEMBEKAL DAGING HALAL
oleh Norzana Razaly
MALAYSIA digemparkan dengan kebejatan moral kartel penyeludup daging yang diragui status halal dan jaminan keselamatannya selepas serbuan ke atas sebuah premis di Taman Perindustrian Senai, Johor pada 1 Disember lalu mendapat liputan meluas di semua media tempatan.
1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta dirampas. Produk berkenaan dipercayai dibawa masuk daripada abatoir dan loji pemprosesan negara luar yang tidak diiktiraf Malaysia.
Isu tersebut mencetuskan kemarahan luar biasa kerana kegiatan itu ketara menghina masyarakat Muslim di negara ini yang sentiasa mengutamakan konsep halalan toyiban dalam pelbagai aspek kehidupan, terutamanya berkaitan bab makan dan minum.
Solusi alternatif
Kerajaan Negeri Kelantan yang sentiasa istiqamah menunaikan kebajikan terhadap rakyat berlandaskan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) tampil dengan solusi NAIMbif iaitu Sistem Pengeluaran Lembu Pedaging (SPLP).
NAIMbif adalah satu sistem pengeluaran lembu pedaging yang mendapat akreditasi berasaskan kepada penggunaan induk kacukan Charolais generasi F2 dan F3 sebagai keperluan minimum yang telah mencapai tahap piawaian kualiti yang ditetapkan, dipelihara secara gerompok semi-intensif bagi tujuan pembiakan secara tertutup (bridlot).
Bermatlamatkan menjaga kepentingan semua pengguna demi melahirkan masyarakat kelantan yang sihat dan bertakwa, sistem ini memfokus kepada agenda pengeluaran lembu pedaging kacukan bermutu tinggi bagi menghasilkan daging yang halal, berkualiti, bersih dan suci berasaskan hukum syarie selaras dengan konsep Bertani Satu Ibadah.
SPLP NAIMbif telah menjadi perangsang kepada pertumbuhan industri pedaging semi komersial dan kecilan negeri Kelantan supaya lebih berdaya saing, berdaya maju, berdaya tahan serta bersepadu sepenuhnya melalui penyampaian perkhidmatan veterinar yang berkualiti.
Sejarah pencetus fenomena
Bermulanya perkhidmatan permanian beradas ke atas lembu Kedah-Kelantan dengan 350 dos semen beku dari baka tenusu Fresian, Jersey dan Australian Milking Zebu (AMZ) yang diperkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Negeri Kelantan pada awal tahun 1973.
Anak lembu betina dari semen Aberdeen Angus berumur 10 bulan (kanan) yang lahir pada 24.11.1973 adalah salah satu daripada anak lembu pedaging baka temperat terawal hasil permanian beradas ke atas induk Kedah-Kelantan di negeri Kelantan.
Tujuan utama ialah untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti lembu-lembu baka tempatan, iaitu baka Kedah-Kelantan di negeri Kelantan.
Hasilnya, kelahiran anak-anak lembu kacukan dari semen tenusu dengan induk Kedah-Kelantan itu telah mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan penternak. Kebanyakannya tidak begitu berminat atas alasan warnanya bertompok hitam-putih agak asing dan tidak menarik.
Kemudian, JPH telah membawa masuk semen baka pedaging spesis Brahman. Bagaimanapun anak-anak kacukan Brahman menampilkan ciri-ciri fizikal baka Bos indicus seperti bonggol yang tinggi serta “dewlap” yang lebar juga gagal menarik minat kebanyakan penternak di negeri ini.
Baka baharu
Kesukaran di peringkat awal dalam memperkenalkan baka-baka kacukan dalam kalangan penternak lembu pedaging tempatan akhirnya mendorong pihak JPH untuk mendapatkan bekalan semen beku lembu dari baka Bos taurus, iaitu dari baka-baka temperate seperti Santa Gethrudis, Hereford, Limousin, Angus dan Charolais.
Kelahiran anak-anak kacukan pertama dari baka temperate akhirnya telah berjaya mengubah persepsi penternak lembu pedaging di negeri Kelantan terhadap baka-baka kacukan.
Susuk badannya yang dikatakan lebih menarik serta perbezaan berat lahirnya yang ketara antara baka kacukan ini dengan baka lembu tempatan telah menarik minat lebih ramai penternak lembu tempatan untuk mencuba baka yang baharu diperkenalkan ini.
Matlamat Naimbif
Kini, setelah 48 tahun, Kerajaan Negeri Kelantan telah memperkenal SPLP NAIMBIF yang telah dilancarkan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Kelantan pada 30 Oktober 2017 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Ustaz Haji Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, antara tujuan utama NAIMBIF diperkenalkan ialah untuk menjadikan negeri Kelantan unggul sebagai pengeluar utama baka lembu kacukan yang berkualiti dan produk pedaging halal yang utama di Malaysia dengan objektif:
(a) menjadikan projek lembu pedaging kacukan sebagai penjana sumber ekonomi kepada masyarakat petani Negeri Kelantan melalui amalan penternakan yang tersusun, efisien dan berdaya maju,
(b) mengeluarkan lembu pedaging yang mencapai piawaian kualiti yang ditetapkan untuk tujuan baka dan daging berdasarkan konsep Bertani Satu Ibadah, dan
(c) menyediakan kaedah pengiktirafan mengikut tahap piawaian yang ditetapkan kepada pengusaha lembu pedaging di bawah SPLP NAIMbif
Pencapaian Suntikan Permanian Beradas
Negeri Kelantan amat bertuah kerana diterajui saf pimpinan yang sentiasa pro-aktif dan berpemikiran garda-depan (avant-garde) dalam mentadbir-urus kerajaan bertonggakkan Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan.
Semangat Kebersamaan Demi Rakyat menjadi iltizam untuk terus memberi perkhidmatan terbaik di dalam setiap aspek kehidupan kepada segenap lapisan masyarakat berbilang kaum di Kelantan.
Tidak terkecuali, di dalam bidang penternakan, angka perkhidmatan permanian beradas ke atas lembu kian meningkat semenjak perkhidmatan tersebut diperkenalkan.
Pada mulanya suntikan permanian beradas hanya dilakukan oleh kakitangan Jabatan. Mulai tahun 1990 Jabatan telah melatih jurusuntik dalam kalangan penternak sendiri.
Minat yang mendalam dalam penternakan lembu kacukan menyebabkan permintaan terhadap perkhidmatan Permanian Beradas begitu menggalakkan dan prestasinya terus meningkat.
Peningkatan Pengeluaran
Pencapaian optimum lembu-lembu kacukan berpurata 800 kg/ekor iaitu lebih 3 kali ganda berat seekor lembu Kedah-Kelantan. Maknanya, jika lembu Kedah-Kelantan boleh mencapai berat optimum 250 kg/ekor, pencapaian lembu kacukan boleh mencapai hingga 1,000 kg/ekor.
Berdasarkan populasi lembu pada tahun 2017 yang sebanyak 97,751 ekor, dengan jumlah populasi lembu kacukan sebanyak 10,661 ekor, lembu kacukan sebenarnya boleh menyumbang sebanyak 31.25% pengeluaran daripada pengeluaran daging lembu negeri Kelantan.
Manfaat Lain Yang Diperolehi Oleh Rakyat Kelantan
SPLP NAIMBIF telah memberi banyak manfaat kepada rakyat selaku pengusaha dalam bidang ini terutamanya peningkatan pendapatan hasil pengeluaran daging lembu.
Faedah sampingan yang turut dinikmati;
(a) 64 jurusuntik permanian beradas mampu memperolehi bayaran upah menyuntik sebanyak RM50 hingga RM150 per suntikan. Rekod jabatan mencatat, pendapatan tertinggi seorang Jurusuntik telah mencecah RM16,000 sebulan.
(b) SPLP NAIMBIF sendiri menggalakkan penggunaan makanan berasaskan bahan hijau dengan kadar minimum 60%. Keadaan ini memberi peluang kepada usahawan menggiatkan lagi aktiviti penanaman rumput yang boleh dijual.
Secara tidak langsung, ia berpotensi mengatasi isu tanah terbiar. Dengan anggaran berat badan seekor sebanyak 300kg dan pengambilan 10% sahaja, keperluan makanan berasaskan bahan hijau boleh mencecah 150 MT sehari.
(c) Usaha Kerajaan Negeri Kelantan menjenamakan sistem penternakan berjenama NAIMbif telah menarik minat pengusaha-pengusaha makanan berasaskan daging. Pemerosesan daging bermula di rumah sembelih, dan kini Rumah Sembelih Jabatan di Pasir Mas telah diperakui dengan Halal, oleh Jabaran Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Daging bercop Halal JAKIM yang dikeluarkan di Rumah Sembelih, Pasir Mas.
Melihat kepada rekod prestasi kecemerlangan projek ini, tidak mustahil Kelantan muncul sebagai Jelapang Makanan Malaysia dalam masa terdekat, insya Allah.- UPKN KELANTAN 12/1/2021