PAPARAN EKSKLUSIF SIRI KEJAYAAN KERAJAAN NEGERI KELANTAN

SIRI 4: PROGRAM BAHARU MERIAHKAN SALURAN DIGITAL UPKN

oleh Norzana Razaly

Impak pelancaran Penyiaran Digital bertemakan ‘Go Digital Kelantan’ yang dilancarkan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Hj Mohd Nassuruddin Hj Daud pada 3 September tahun lepas ketara keberhasilannya.

Terbukti, penyebaran maklumat menerusi platform digital kian rancak diusahakan oleh Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) selaku agensi media rasmi kerajaan negeri yang berwibawa.

Antara program yang menaikkan rating sehingga 13,800 tontonan secara kumulatif ialah program Semuka – Tampil Terang kelolaan Unit Multimedia, UPKN.

Program rakaman awal berformat dialog di antara pegawai kanan UPKN dengan YB Exco sudah ke udara secara siaran premier sejak 28 Disember 2020 hingga edisi ke-6 pada 1 Mac lalu.

Para exco tampil secara jelas menghurai segala aktiviti terdahulu dan terkini serta menjawab isu semasa mengikut portfolio masing-masing sehingga berjaya meraih 7 ribu tontonan semasa episod kedua yang menampilkan Timbalan Menteri Besar YB, Dato’ Hj. Mohd Amar bin Abdullah dan dihoskan oleh Penolong Pengarah Kanan ULUM, Razuan Awang Hamat.

Siaran tersebut boleh disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/1379770592257304/videos/141177961106595.

Manakala Bicara Khas Kebersamaan Demi Rakyat (BKKDR) kelolaan Unit Penerbitan dan Dokumentasi UPKN sudah pun memasuki siri ke 10. Siaran secara langsung dari studio UPKN ini dihoskan oleh Pegawai Penyelidik, Suhaizi Abdul Kadir.

Slot BKKDR dikupas secara tuntas oleh para pengarah atau pemimpin tertinggi agensi kerajaan berkaitan agenda prima Kerajaan Kelantan dalam merealisasikan slogan Merakyatkan Membangun Bersama Islam bertonggakkan Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan.

Selain itu, program Bedah Buku Online (BBO) yang meresensi buku-buku terpilih terbitan UPKN dan agensi kerajaan yang lain turut mendapat sambutan memberangsangkan.

Tidak terkecuali, rancangan Jimi McXtra berkonsepkan bual bicara interaktif berselingan lagu-lagu sohor kini kelolaan Pegawai Perhubungan Awam, Azimi Mahmood kian popular dalam kalangan netizen.

Rangkuman aktiviti para exco selama seminggu dikelolakan oleh Unit Libat Urus Masyarakat (ULUM), UPKN menerusi program Sorotan Seminggu Berita Exco yang telah pun memasuki Edisi ke-13. Siaran bual bicara santai dihoskan secara duet oleh Pegawai Penerangan Zon, Foo Min Li dan Hareetharan selama sejam pada setiap Ahad pukul 10 pagi.

Agenda kebersamaan demi rakyat janaan Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Hj Ahmad bin Yakob meliputi seluruh rakyat baik yang bermukim di dalam negeri mahupun yang berhijrah.

Oleh itu, anak-anak perantau di seluruh Malaysia tetap diendahkan oleh Unit Hubungan Seranta menerusi program Jejak Perantau Edisi Pantai Timur (Kemaman dan Kuantan) yang dijenamakan sebagai “KKecek KKigho Perantau Kelantan (KKPK) yang bakal menyiarkan episod ke-16 pada Ahad, 21 Mac ini.

Terkini, sebuah lagi program kelolaan ULUM bakal menemui penonton media maya ialah YB@Yang Berkhidmat.

Program 45 episod tersebut merangkumi gerak kerja dan rutin harian 45 wakil rakyat yang menfokus simulasi para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam mendepani agenda melestarikan kecemerlangan selama 30 tahun mentadbir urus negeri menurut prinsip Islam bersama rakyat.

Menurut Timbalan Pengarah UPKN, Nazman Che Iberahim, UPKN cuba menzahirkan kebersamaan YB demi rakyat secara rasmi melalui liputan khas dan berfokus dengan mengaplikasikan kecanggihan teknologi multimedia sebagai perkakasan kontemporari dalam penyebaran maklumat sahih dan tepat kepada rakyat.

“UPKN giat menyediakan gambar-gambar menarik dan berfokus yang diambil dengan perspektif berstrategik sebagai rujukan rakyat untuk mengetahui gerak kerja ADUN mereka dari masa ke semasa”, katanya.

Di samping itu, media penerbitan secara konvensional tidak dikesampingkan. Sebuah manuskrip “Kebersamaan Demi Rakyat” bersifat cetakan fizikal sedang diusahakan secara kolektif oleh Unit Penerbitan dan Dokumentasi bersama Unit Hubungan Seranta, Unit Multimedia dan ULUM.

Naskhah tersebut bakal menzahirkan 10 siri kejayaan paling dominan para Exco Kerajaan Kelantan bermula 2018 hingga sekarang.

Semoga segala perancangan dan gerak kerja UPKN beroleh inayah Allah SWT agar lancar, berjaya dan diberkati.- UPKN KELANTAN 18/3/2021

JIMIMC Xtra Edisi 18 Jan 2021
Bicara Khas Kebersamaan Demi Rakyat (BKKDR) Siri 10
JIMIMC XTRA
Sorotan Seminggu Berita Exco
KKecek KKigho Perantau Kelantan (KKPK) Episod Ke-16
YB@Yang Berkhidmat
(Visited 26 times, 1 visits today)

Add Comment